malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes kerabat tikam peniaga: Lebih seorang saksi beri keterangan - polis
ADS

Polis Kuantan mengesahkan siasatan ke atas kejadian melibatkan seorang kerabat diraja Pahang — yang didakwa menikam seorang peniaga di sebuah kelab malam — sedang giat dijalankan dengan bantuan beberapa orang saksi.

Insiden itu dikatakan berlaku pada awal pagi 8 Mei lalu di sebuah kelab malam di ibu negeri Pahang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu memaklumkan rakaman keterangan telah diambil daripada beberapa saksi kejadian.

"Saksi-saksi (kejadian) telah tampil untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Dia turut mengesahkan terdapat tangkapan dilakukan bagi membantu siasatan namun enggan mendedahkan jumlah sebenar individu yang ditahan setakat ini.

Semalam, dia dilaporkan berkata satu tangkapan dilakukan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ditanya jika tangkapan itu melibatkan kerabat diraja seperti yang tersebar di media sosial, dia mengambil pendekatan berhati-hati dan enggan mengesahkannya.

Menurut satu laporan polis yang tular di media sosial bertarikh 5 Jun, pengadu berusia 30 tahun mendakwa dirinya diserang di sebuah kelab malam selepas insiden 'melanggar' kerabat Pahang sebanyak dua kali di pusat hiburan lain.

Pada malam kejadian, pengadu yang hadir bersama adik dan saudaranya, dipelawa berbincang oleh seorang lelaki dipercayai pembantu kepada kerabat berkenaan tentang bagaimana untuk menyelesaikan perkara itu.

Setelah tawaran membelanja bir kepada kerabat itu ditolak, pembantu kerabat tersebut didakwa mencadangkan supaya pengadu memberi 'angpau' kepada kerabat itu.

Pengadu kemudiannya menyerahkan wang tunai berjumlah RM1,200.

Pengadu mendakwa dia kemudiannya dibawa ke bilik karaoke untuk bersemuka dengan kerabat terbabit dan diarahkan memohon maaf. Di situlah, menurut pengadu, dia diserang secara fizikal.

Kerabat tersebut juga didakwa mengeluarkan sebilah pisau lipat dan menikam mangsa di bahagian punggung, sebelum dihalang kakitangan kelab dan pengawal peribadinya.

Akibat insiden itu, mangsa mengalami kecederaan serius dan kehilangan banyak darah sebelum mendapatkan rawatan segera di sebuah hospital swasta di Kuantan.

Tahun lalu, seorang kerabat diraja Pahang dikaitkan dengan insiden serangan terhadap seorang pekerja pembinaan jalan, Alias Awang, yang mendakwa ditikam dan ditembak.

Pada ketika itu, seorang pekerja pembinaan jalan, Alias Awang mendakwa ditikam dan ditembak oleh sekumpulan individu termasuk 'anak kepada anak Tengku'.

Kemudian, pendakwaan dilakukan terhadap seorang kerabat Pahang, Tengku Eddie Akasya Tengku Abd Rahman dan empat individu lain di Mahkamah Majistret Kuantan atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki dengan pisau.

Tengku Eddie, 21 tahun, merupakan anak saudara kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!