Bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad secara rasmi memutuskan untuk menyertai Umno.
Dzulkifli menyerahkan borang keahlian parti teras Barisan Nasional itu kepada Ketua Umno Merbau Kudong, Ramli Daud, dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Sungai Dua, Pulau Pinang, malam tadi.
Jelasnya, dia mengambil masa yang panjang untuk menilai keputusan tersebut sebelum membuat pilihan
“Saya rasa sudah sampai masanya untuk saya aktif dalam parti dan menyerahkan borang keahlian saya sebagai ahli Umno,” katanya seperti dipetik media tempatan.

Menurut Dzulkifli, dia akan memastikan masyarakat menerima perkhidmatan, tanpa mengira kaum atau agama.
“Dalam hal ini, Umno perlu kembali untuk menjadi payung kepada bangsa Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya,” katanya, lapor media tempatan lagi.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada tahun 2022, khabar angin tersebar luas bahawa Dzulkifli bakal dicalonkan untuk kerusi Parlimen Tasek Gelugor namun spekulasi tersebut tidak menjadi kenyataan.
Untuk rekod, dia dilantik ketua pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016 dan meletak jawatannya pada Mei 2018 susulan kemenangan PH pada PRU14.

