Di tengah kebimbangan terhadap kesan kesihatan akibat cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lima peratus ke atas buah import, seorang pakar pemakanan tampil mencadangkan alternatif buah tempatan yang mampu memenuhi keperluan pemakanan harian dengan harga berpatutan.
Menurut Lee Zhi Ling, yang memiliki lebih 200,000 pengikut di Instagram hasil perkongsian tip memasak sihat yang mudah diikuti rakyat Malaysia.
Buah-buahan tempatan katanya tidak kurang hebat dari segi khasiat berbanding buah import.
Sebagai contoh, katanya, meskipun buah import seperti oren, beri dan kiwi tinggi kandungan vitamin C, buah tempatan seperti betik dan jambu batu juga mampu memberikan manfaat serupa.

“Keperluan harian vitamin C kita ialah 70mg. Satu potongan betik (lebih kurang 160g) dan satu potongan jambu batu (anggaran 110g) masing-masing mengandungi 113mg dan 168mg vitamin C,” kata Lee kepada Malaysiakini.
Jelasnya, jambu batu juga merupakan sumber serat yang sangat baik.
“Satu potongan jambu batu mengandungi kira-kira 7.5g serat, iaitu sekitar 38 peratus daripada pengambilan serat harian yang disyorkan,” jelasnya, sambil mencadangkan jambu batu sebagai alternatif kepada pir import dari segi kandungan serat.
Menurutnya buah tempatan lain seperti tembikai, belimbing, jambu air dan nanas sememangnya bersifat menghidrat dan sesuai untuk cuaca panas tropika seperti di Malaysia.

“Kita juga ada buah naga dan markisa yang ditanam secara tempatan, kaya dengan antioksidan seperti betalain dan polifenol,” tambah Lee, graduan Ijazah Sains Pemakanan Komuniti dan Sarjana Sains (Pemakanan Komuniti) dari Universiti Putra Malaysia.
Dia turut mengetengahkan pelbagai jenis pisang tempatan — termasuk pisang berangan, pisang mas dan pisang rastali — yang sarat dengan kalium, vitamin B6 dan tenaga semula jadi, menjadikannya sesuai dimakan semasa sarapan atau sebagai snek sebelum atau selepas bersenam.
Diabetes tak sesuai
Lee menyarankan orang dewasa mengambil dua hidangan buah setiap hari namun menekankan pentingnya memantau saiz hidangan terutamanya bagi individu yang menghidap diabetes atau rintangan insulin.
Dia berkata pengambilan buah secara berlebihan mungkin tidak sesuai bagi individu yang cuba mengawal paras gula dalam darah dan menyarankan diet yang pelbagai bagi memastikan pemakanan yang seimbang untuk kesihatan.
“Sila rujuk pakar diet anda jika anda mempunyai masalah kesihatan atau sedang mengambil ubat yang memerlukan anda mengelakkan pengambilan sesetengah buah-buahan,” katanya lagi.

Sebelum ini, kumpulan pengguna memberitahu Malaysiakini bahawa kadar SST baru ke atas buah import, yang dijangka berkuat kuasa mulai 1 Julai, boleh mengurangkan akses kepada nutrien penting, sekali gus menjejaskan golongan berpendapatan rendah.
Meskipun buah tempatan dikecualikan daripada cukai ini, kumpulan pengguna turut melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan kekurangan bekalan dan kenaikan harga.
Pengkritik juga menggesa kerajaan supaya mempertingkatkan pengeluaran buah tempatan sebelum pelaksanaan cukai bagi mengelakkan kesan kesihatan yang tidak diingini.
Dalam membela langkah cukai terhadap buah import, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Johan Mahmood Merican berkata Malaysia sudah pun menghasilkan pilihan buah tempatan yang mencukupi dan kekal bebas cukai.
Menurutnya, buah import dikategorikan sebagai “perbelanjaan pilihan” memandangkan wujud alternatif tempatan yang setara.
Selain buah-buahan import, cukai jualan lima peratus turut akan dikenakan ke atas barangan lain yang dianggap “bukan keperluan”, termasuk ketam raja (king crab), salmon, kod, cendawan trufel, minyak pati, fabrik sutera dan jentera industri.
[Baca berita asal]

