PAS dikecam kerana mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim berundur buat sementara waktu berikutan pembebasan bekas pembantunya, Yusoff Rawther baru-baru ini yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil berkata PAS tidak membuat gesaan sedemikian apabila pemimpinnya sendiri disiasat atau didakwa.
"Tindakan PAS mempolitikkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut adalah satu tindakan terdesak dan hipokrit kerana PAS sendiri gagal bersikap adil dalam kes melibatkan pemimpinnya sedangkan keadilan itu bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi perlu dilihat dilaksanakan," kata Faiz dalam satu kenyataan hari ini.
"Hujah PAS adalah bagi menjamin integriti dalam memastikan pegawai polis dapat menyiasat Anwar Ibrahim, namun ketika pemimpin PAS disiasat dan didakwa berkaitan kes menghina Sultan di bawah Akta Hasutan, tidak pula didesak perkara yang sama demi menjaga integriti institusi diraja," tambahnya.
Walaupun Faiz tidak menamakan pemimpin PAS yang dimaksudkannya, Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini disiasat polis berhubung kenyataannya yang didakwa mengkritik beberapa pihak termasuk raja-raja Melayu.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebelum ini menyatakan kekesalan yang mendalam terhadap kenyataan Ahli Parlimen Marang itu.
Pada 2023, Menteri Besar Kedah Sanusi Nor didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang kerana didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor.
Pada September tahun lalu, Sanusi telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor berhubung perkara itu.
Faiz menegaskan bahawa gesaan PAS supaya Anwar mengosongkan jawatannya adalah "bermotifkan politik" untuk memburukkan perdana menteri.
Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak pertuduhan terhadap Yusoff menunjukkan badan kehakiman dibenarkan menjalankan tugas tanpa campur tangan.
“Sikap ini melambangkan prinsip integriti yang diperjuangkan PH dan agenda reformasi yang digagaskan Anwar Ibrahim dalam menjamin kebebasan badan kehakiman benar-benar dilaksanakan,” katanya.
Faiz juga berkata walaupun pemimpin PAS mendakwa polis boleh disaman kerana didakwa tidak menyiasat Anwar berhubung kes Yusoff, hujah “tidak berasas” itu tidak berdasarkan penjelasan Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
"Sungguhpun prinsip undang-undang jenayah menghendaki penyiasatan yang adil dan menyeluruh, namun bagi menyaman pihak polis perlu ditunjukkan wujudnya satu tindakan niat jahat (malicious) oleh pihak polis.
"Memandangkan tiada apa-apa bukti menunjukkan campur tangan Anwar dalam penyiasatan tersebut, maka di mana berlakunya niat jahat tersebut?" kata Faiz.
Semalam, Razarudin mengesahkan bahawa siasatan terhadap laporan Yusoff, di mana bekas pembantu penyelidik itu mendakwa dia diperangkap, berlaku pada masa yang sama dengan siasatan terhadap tuduhan mengedar dadah dan memiliki senjata api palsu terhadapnya.
Pada Khamis, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Yusoff daripada tuduhan mengedar dadah dan memiliki dua pistol palsu, dengan hakim Jamil Hussin memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan.
Yusoff kembali menjadi perhatian berhubung saman sivilnya terhadap Anwar, yang dituduhnya melakukan serangan seksual.
Awal minggu ini, Mahkamah Rayuan mengeluarkan penangguhan sementara bagi semua prosiding yang melibatkan saman sivil Yusoff.
Ini selepas panel tiga hakim membenarkan permohonan perdana menteri untuk menangguhkan tuntutan mahkamah sementara menunggu pelupusan permohonan Anwar untuk mendapatkan penangguhan penuh.
Bercakap kepada pemberita semalam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Anwar perlu bercuti sementara menunggu keputusan untuk saman sivil itu, mendakwa pihak berkuasa akan teragak-agak untuk melancarkan siasatan terhadap Anwar selagi dia berada dalam kedudukan berkuasa.

