malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Laporan EIA projek tambak laut Melaka rekod 40 kejadian banjir
ADS

Langkah mitigasi bagi projek tambakan mega Melaka yang dicadangkan tidak mengambil kira 40 kejadian banjir yang direkodkan di kawasan berhampiran.

Dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) itu, kajian impak banjir hanya meneliti limpahan air dari tujuh sungai berdekatan kawasan projek.

“Berdasarkan model hidraulik sungai, impak tambakan terhadap banjir sungai adalah minimum bagi kesemua tujuh sungai, walaupun dalam keadaan purata kebarangkalian berulang 100 tahun (100-year ARI) serta faktor perubahan iklim (CCF).

“Bagi Sg Lereh, Sg Melaka, Sg Sri Melaka, Sg Umbai, Sg Punggor, Sg Duyong dan Parit Cina, peningkatan paras air maksimum adalah tidak ketara, iaitu kurang daripada 1 cm. Oleh itu, tiada langkah mitigasi diperlukan.

“Namun, bagi Sg Parit Cina, pelan tambakan yang dicadangkan tidak menyediakan laluan keluar air. Langkah mitigasi yang dicadangkan ialah pembinaan saluran keluar dan rizab selebar 84 meter,” menurut laporan tersebut.

Sebelum itu, laporan EIA mengenal pasti sebanyak 40 insiden banjir berlaku antara November 2014 hingga November 2024 dalam radius 5km dari kawasan projek.

Kebanyakan kejadian banjir tersebut berpunca daripada hujan lebat, manakala sebahagian lagi diperburuk oleh sistem saliran yang tidak mencukupi.

Pada tahun 2023, Adun Kota Laksamana, Low Chee Leong memberitahu Malaysiakini bahawa projek-projek tambakan berkenaan mengganggu sistem saliran di Melaka, menyebabkan air hujan tidak dapat terus mengalir ke laut seperti sepatutnya.

Laporan yang sama turut merujuk data dari stesen cuaca Melaka yang menunjukkan bahawa perubahan iklim telah mengubah corak dan intensiti hujan. Pada tahun 2020, Melaka mengalami enam hari hujan melebihi 50mm, manakala pada tahun 2021 jumlahnya meningkat kepada 15 hari.

SM-WEZ menyasarkan untuk menambak kawasan seluas 1,123.41 hektar, bersamaan lebih 1,388 padang bola sepak, melibatkan 16 plot pembangunan di sepanjang pesisir Selat Melaka.

Plot ini terdiri daripada tujuh plot konsesi dan sembilan kawasan pembangunan berpotensi bagi tujuan komersial dan industri.

Projek ini merupakan sebahagian daripada pelan strategik negeri Melaka untuk membangunkan Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) yang merangkumi penambakan seluas 25,000 ekar sepanjang 33km pesisir pantai Melaka.

Laporan EIA itu juga menyatakan bahawa pembangunan ini akan mengakibatkan kemusnahan kekal terhadap kawasan berlumpur (mudflat) dan pokok-pokok bakau, serta memberi kesan kepada kesihatan terumbu karang.

“Projek tambakan ini akan menyebabkan kehilangan kekal kawasan berlumpur di tapak tersebut. Sumber fizikal, biologi dan produktiviti asal kawasan itu akan lenyap selama-lamanya.

“Kehilangan kawasan berlumpur ini akan mengurangkan sumber yang penting bagi menyokong kehidupan marin,” katanya.

Kawasan berlumpur menyediakan habitat dan makanan bagi pelbagai hidupan laut seperti moluska, krustasea dan cacing, serta menjadi kawasan pembiakan bagi spesies ikan tertentu.

Tapak tambakan yang dicadangkan turut menjadi lokasi pencarian kerang darah komersial, menurut laporan itu.

Ia juga menyatakan bahawa aktiviti tambakan akan melibatkan pembersihan kawasan bakau seluas 3.19 hektar di Pulau Melaka.

“Sumber fizikal, biologi dan produktiviti asal kawasan bakau di Pulau Melaka yang terlibat dalam kawasan tambakan akan musnah dan dianggap sedia dikorbankan (trade-off).

“Namun, impak terhadap kawasan bakau di luar plot tambakan adalah tidak ketara,” menurut laporan itu lagi.

Bakau bukan sahaja menjadi pelindung semula jadi pantai daripada cuaca ekstrem, tetapi juga berfungsi sebagai pusat biodiversiti dan simpanan karbon (carbon sink).

Laporan itu turut menyatakan bahawa struktur terumbu karang sedia ada boleh terjejas akibat pemendapan kelodak dan kekeruhan air berpunca daripada kegagalan aktiviti tambakan.

“Pemendapan kelodak yang tinggi tidak semestinya menyebabkan kematian, tetapi boleh memberi kesan sub-lethal seperti peningkatan kerentanan terhadap penyakit, pemutihan karang dan pengurangan keupayaan regenerasi akibat kerosakan tisu.”

Laporan itu turut memberi amaran bahawa kesan sedemikian boleh menyebabkan dominasi ekosistem beralih kepada spesies bukan karang seperti span dan alga.

Pemendapan kelodak tinggi juga boleh menghalang koloni karang baru terbentuk.

Kehilangan kawasan pasang surut, bakau dan lumpur yang menjadi tempat habitat dan pembiakan hidupan laut tidak dapat dipulihkan sepenuhnya, dan dianggap sebagai sesuatu yang terpaksa dikorbankan

Terumbu karang melindungi pantai dengan membentuk penghalang semula jadi daripada ribut, ombak kuat dan banjir. Ia juga menapis air dan menjadi habitat pelbagai hidupan marin.

Laporan EIA mencadangkan empat langkah mitigasi:

- Pembinaan struktur kejuruteraan eko untuk mewujudkan dan menambah baik habitat,

- Penanaman semula bakau,

- Penanaman semula karang, dan

- Penempatan terumbu tiruan.

Selain isu-isu tersebut, tapak cadangan projek ini juga terletak berhampiran dengan 237 kawasan perumahan, komersial, institusi dan kemudahan awam.

Terdapat 42 kawasan kediaman dalam jarak 1 hingga 3km dari tapak, dan 48 kawasan lagi dalam lingkungan 3 hingga 5km.

Kawasan kediaman paling hampir ialah Kampung Hailam, terletak hanya 0.45km dari tapak projek. Enam kawasan lain seperti Taman Pulau Melaka, Kampung Pengkalan Lanjut, Kampung Tanjong Keling, Kampung Pinang Batang Tiga, Taman Muhibbah dan Kampung Lereh juga berada dalam jarak kurang 1km.

Bagi kawasan komersial, sebanyak 23 kawasan berada dalam lingkungan 1 hingga 3km, termasuk Muzium Penjara Malaysia dan Muzium Kapal Selam.

Tujuh lagi terletak antara 3 hingga 5km, termasuk Jeti Melaka River Cruise Taman Rempah.

Terdapat juga 19 institusi dalam jarak 1 hingga 3km, dan 30 lagi dalam jarak 3 hingga 5km — termasuk puluhan sekolah dari sekolah tadika hingga sekolah menengah.

Akhir sekali, terdapat 32 kemudahan awam dalam jarak 1 hingga 3km, manakala 35 kemudahan lagi berada dalam jarak antara 3 hingga 5km.

Pada Selasa (10 Jun), kumpulan Save Our Seashores Melaka (SOS Melaka) mengkritik projek tersebut dan melabelkannya sebagai “tidak lestari, memusnahkan alam sekitar, dan melulu dari segi ekonomi”.

Merujuk kepada laporan EIA, NGO itu menyifatkan projek tersebut sebagai “yang paling besar dan paling merosakkan” dalam sejarah Malaysia.

Projek ini disasarkan untuk menarik pelaburan bernilai RM100 bilion dan mewujudkan 75,000 peluang pekerjaan, namun penduduk Melaka menyuarakan keraguan terhadap “janji kosong” memandangkan janji-janji projek sebelum ini yang gagal ditunaikan.

Laporan EIA ini dipamerkan dari 14 Mei hingga 12 Jun dan maklum balas awam dibuka sehingga 27 Jun.

Laporan ini disediakan oleh Perunding UEP Sdn Bhd untuk kerajaan negeri Melaka dan SM-WEZ Corporation.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen