malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
IGP: Tiada keperluan ambil keterangan PM dalam kes Yusoff Rawther
Diterbitkan:  Jun 13, 2025 9:46 PM
Dikemaskini: 1:47 PM
ADS

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata tiada keperluan untuk mengambil keterangan daripada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung laporan yang dibuat Yusoff Rawther pada 12 Sept tahun lalu.

Razarudin Husain berkata, laporan tersebut disiasat selari dengan dua kertas siasatan yang dibuka berkaitan penemuan dadah dan pistol yang didakwa ditemui dalam kereta milik Yusoff.

"Tiada keperluan untuk mengambil kenyataan YAB PMX dalam kes tersebut memandangkan tindakan tersebut telah diambil ketika aduan dibuat oleh Yusoff Rawter di erpingkat awal.

“Pada peringkat itu, PDRM telah mengemukakan ke Pejabat Peguam Negara dengan cadangan pertuduhan untuk kedua-dua kes tersebut dan berpuas hati bahawa setakat keterangan yang ada pada masa tersebut, adalah mencukupi untuk menuduh Yusoff Rawter tanpa memanggil mana-mana pihak lain untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada tahun 2021, Yusoff memfailkan saman sivil mendakwa Anwar melakukan serangan seksual terhadapnya di pejabat Presiden PKR itu pada Oktober 2018.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Yusoff daripada pertuduhan mengedar dadah dan memiliki dua pucuk pistol tiruan, selepas Hakim Jamil Hussin memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan.

Hakim menyatakan pihak pendakwaan gagal membuktikan Yusoff mempunyai pengetahuan, jagaan dan kawalan terhadap dadah dan senjata palsu tersebut.

Yusoff dalam pembelaannya mendakwa ganja dan senjata palsu itu diletakkan untuk memerangkapnya.

Dalam kenyataan sama, Razarudin berkata PDRM menghormati dan mengalu-alukan pandangan yang dikemukakan semua pihak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes itu.

“Pandangan tersebut mencerminkan satu hasrat murni untuk memastikan sistem keadilan jenayah negara terus menjunjung prinsip keadilan dan hak asasi manusia.

“Justeru, PDRM masih menunggu dan akan meneliti penghakiman penuh perbicaraan tersebut untuk melihat jika ada kelompangan dan kelemahan ketika siasatan dijalankan.

“PDRM bersedia menambah baik melalui penilaian dalaman dan semakan semula SOP (prosedur operasi standard) siasatan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen