malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Muhyiddin gesa RCI kes Yusof Rawther, dakwa ada konspirasi lindungi PM
Diterbitkan:  Jun 13, 2025 5:03 PM
Dikemaskini: 9:07 AM
ADS

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin hari ini menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kemungkinan wujudnya konspirasi dan salah guna kuasa dalam pendakwaan terhadap Yusof Rawther yang dituduh mengedar ganja dan memiliki dua pistol tiruan.

Dalam satu kenyataan media yang sarat dengan kecaman terhadap kerajaan, pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menyifatkan pendakwaan terhadap bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu sebagai satu “konspirasi jahat” untuk menutup mulutnya.

“Bukti-bukti yang dikemukakan di mahkamah oleh pihak pendakwaan untuk menyabitkan kesalahan jenayah yang kononnya dilakukan oleh Yusof Rawther adalah amat diragui.

“Ini menimbulkan persepsi awam bahawa pendakwaan ini adalah satu konspirasi jahat pihak-pihak tertentu untuk menutup mulut Yusof Rawther berkait saman sivilnya terhadap perdana menteri,” katanya.

Muhyiddin mendakwa kes ini memperlihatkan bagaimana institusi negara digunakan sebagai alat politik untuk melindungi “sang penguasa” untuk menganiaya seorang rakyat yang tidak bersalah.

“Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin yang melepas dan membebaskan Yusof Rawther tanpa perlu membela diri mengesahkan keraguan ini.

“Pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie berkemungkinan besar kerana bukti-bukti yang dikemukakan adalah direka untuk menyabitkan kesalahan.

“Ini adalah bukti jelas kebobrokan kuasa,” katanya.

Semalam, ketika membebaskan dan melepaskan Yusoff Rawther, hakim Jamil berkata bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan.

Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai kawalan, jagaan dan pemilikan ke atas dua pucuk pistol dan dadah berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menyamakan situasi berkenaan dengan sebuah negara autoritarian.

“Saya bimbang Malaysia berkemungkinan menjadi negara gestapo dengan kewujudan anasir-anasir tidak senonoh dalam agensi-agensi penguatkuasa yang mengikut telunjuk penguasa politik mereka secara membuta tuli,” katanya.

Madani hipokrit besar

Presiden Bersatu itu turut menempelak kerajaan pimpinan Anwar, sambil menyifatkan slogan reformasi dan keadilan sebagai “hipokrasi terbesar rejim Madani.”

“Undang-undang dan institusi negara yang sepatutnya menjadi pelindung rakyat dan penegak keadilan telah ditukar menjadi alat kezaliman,” kata Muhyiddin, sambil menzahirkan kekesalan apabila tuduhan berat yang membawa hukuman penjara seumur hidup digunakan untuk menghukum seseorang yang belum dibuktikan bersalah.

Susulan pembebasan Yusof Rawther oleh Mahkamah Tinggi, Muhyiddin menuntut jaminan keselamatan diberikan kepada Yusof, sambil menyatakan kebimbangan terhadap sebarang bentuk ancaman susulan pendedahan yang dibuatnya.

Muhyiddin turut memuji keberanian hakim Jamil yang menurutnya membuat keputusan berdasarkan prinsip undang-undang dan bukan tekanan luar.

Mengulangi gesaannya, Muhyiddin menuntut siasatan menyeluruh dijalankan terhadap keseluruhan proses siasatan dan pendakwaan ke atas Yusof — termasuk mengenal pasti “dalang utama” jika wujud persekongkolan.

“Jika terbukti, kesemua mereka yang terlibat dan dalang utamanya mesti dihukum dengan seberat-berat hukuman,” katanya lagi.

Bagi saman sivil yang difailkan oleh Yusoff Rawther terhadap Anwar, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan perdana menteri untuk mengketepikan saman itu pada 4 Jun lalu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan telah mengeluarkan penangguhan sementara bagi semua prosiding pada 10 Jun, sementara menunggu pelupusan permohonan Anwar untuk mendapatkan penangguhan penuh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen