Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam telah mengerahkan Pasukan Taktikal Pencegahan Rasuah (ACTS) semasa merakam keterangan seorang individu bergelar Tan Sri, berikutan maklumat mengenai kewujudan bilik rahsia yang menyimpan senjata di kediaman lelaki berkenaan.
SPRM memaklumkan pihaknya menerima maklumat tentang sebuah bilik rahsia di rumah individu terbabit yang menyimpan barangan berharga termasuk senjata, berkaitan siasatan terhadap penyelewengan dana sukuk bagi pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
"SPRM mendapat maklumat terdapat bilik rahsia yang menyimpan barang-barang berharga termasuk senjata yang berkaitan dengan siasatan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang di kediaman individu ini.
“Kehadiran pasukan ACTS adalah bertujuan menjaga keselamatan dan mengiringi pegawai serta barang-barang yang disita bagi dibawa pulang ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya,” menurut kenyataan hari ini.
SPRM berkata beberapa barangan mewah telah disita dari kediaman Tan Sri tersebut, termasuk beg tangan berjenama; jam tangan mewah; jongkong emas, syiling dan patung; minuman keras berjenama mewah; berlian serta barang kemas.
Selain itu, kata SPRM satu set alatan kasino berjenama mewah yang dianggarkan bernilai RM150,000 juga telah disita.
Sitaan tersebut menyusuli serbuan awal oleh Bahagian Siasatan SPRM yang menemukan:
84 beg tangan mewah bernilai kira-kira RM3 juta
11 jam tangan berjenama bernilai kira-kira RM1 juta
Minuman keras mewah bernilai RM5 juta
Jongkong emas, syiling dan patung emas bernilai kira-kira RM3 juta
Berlian dan barang kemas bernilai kira-kira RM4 juta
Selain itu, SPRM turut menyita satu set peralatan kasino berjenama mewah yang dianggarkan bernilai RM150,000.
“SPRM turut menemui sebuah bilik rahsia kebal yang merupakan tempat simpanan senjata dan peluru, namun tiada sitaan dilakukan kerana senjata berkenaan didaftarkan atas nama syarikat keselamatan milik individu terbabit,” tambah kenyataan itu lagi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa nilai keseluruhan rampasan semalam mencecah kira-kira RM16 juta, dan tidak menolak kemungkinan lebih banyak sitaan akan dilakukan selepas ini.
Azam turut memaklumkan bahawa proses rakaman keterangan Tan Sri tersebut ditangguhkan ke tarikh lain disebabkan keadaan kesihatan beliau.
Akhbar The Star semalam melaporkan bahawa empat kenderaan milik ACTS termasuk dua van putih, sebuah Nissan Grand Livina, dan sebuah Honda City, dilihat memasuki kediaman lelaki berkenaan di Bandar Tasik Selatan sekitar jam 10.50 pagi, dan anggota ACTS dilihat lengkap bersenjata api.
Laporan tersebut turut menyatakan bahawa pegawai SPRM menyambung sesi soal siasat terhadap lelaki itu semalam selepas menghabiskan lebih enam jam soal siasat pada hari sebelumnya, bermula jam 9 pagi hingga 3.07 petang.
Pada 2 Jun, SPRM mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya RM20 juta dana sukuk yang diperuntukkan bagi projek lebuh raya di Lembah Klang telah diseleweng untuk tujuan perjudian.
Azam berkata, transaksi tersebut dikesan melalui siasatan lanjutan kes berkenaan dan SPRM masih menjejaki aset dalam serta luar negara, yang akan dibekukan atau disita bagi membantu siasatan lanjut.
Akhbar New Straits Times turut melaporkan bahawa SPRM telah menyita aset dan membekukan akaun bank bernilai RM85.6 juta berkaitan siasatan ini.

