Jabatan Imigresen hari ini tampil menjelaskan kekeliruan mengenai sekatan perjalanan ke atas artis grafik Fahmi Reza, selepas dia mendakwa bahawa dirinya dilarang meninggalkan negara ini, minggu lalu.
Dalam satu kenyataan, jabatan imigresen mengesahkan bahawa Fahmi kekal bebas melancong ke luar negara dan hanya dilarang memasuki Sabah di bawah arahan pihak berkuasa negeri itu.

“Pihak Jabatan ingin memaklumkan bahawa tiada halangan bagi individu tersebut untuk membuat perjalanan ke luar negara. Namun begitu, sekatan masuk ke negeri Sabah masih lagi berkuat kuasa atas arahan pihak berkuasa negeri.
“Jabatan ini juga mengambil maklum berkenaan kekeliruan yang timbul susulan perbezaan paparan maklumat antara versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam sistem semakan status perjalanan di laman rasmi.
“Hal ini timbul kerana portal versi Bahasa Inggeris sedang dalam proses pengemaskinian. Justeru itu, portal versi Bahasa Inggeris telah ditutup sementara waktu bagi tujuan pengemaskinian tersebut,” kata jabatan itu.
Ketika mendapatkan penjelasan lanjut, Malaysiakini dimaklumkan bahawa kekeliruan timbul berhubung sekatan kemasukan Fahmi ke Sabah tetapi tidak menjejaskan status perjalanannya ke luar negara.
Penjelasan ini dibuat selepas Fahmi mendakwa bahawa laman web versi bahasa Melayu masih menunjukkan dia dilarang ke luar negara, sedangkan versi bahasa Inggeris tidak menunjukkan sekatan sedemikian.

