"Bayangkan jika ini terjadi kepada anak atau keluarga kita."
Demikian persoalan yang dikemukakan oleh ketua pembangkang Hamzah Zainudin kepada rakyat Malaysia ketika mengulas kes Yusoff Rawther, yang dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah dan memiliki senjata api palsu.
Timbalan Presiden Bersatu itu menyeru rakyat Malaysia untuk bangkit dan menuntut keadilan, sambil menegaskan pihak yang bertanggungjawab memenjarakan Yusoff mesti diambil tindakan.
Hamzah percaya terdapat konspirasi terhadap bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu, yang membawa kepada penahanannya tanpa jaminan selama lebih sembilan bulan.
"Yusoff ditempatkan di blok banduan akhir, walhal beliau anak muda yang mempunyai masa depan.
"Apa jadi sekiranya keputusan di bawah pertuduhan Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 tadi tidak memihak kepada Yusoff? Orang tidak bersalah akan dipenjara seumur hidup.
"Oleh itu, saya menyeru kepada rakyat agar bangkit bersama-sama untuk memastikan dalang kepada konspirasi dan penganiayaan ini diambil tindakan, kerana kita tidak mahu sejarah penyalahgunaan kuasa berulang kembali,” tambahnya dalam catatan Facebook.

Pembebasan Yusoff hadir di tengah-tengah perhatian baru mengenai saman sivilnya terhadap Anwar yang dituduhnya melakukan serangan seksual.
Peguamnya tidak menolak untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan pihak berkuasa atas penahanannya.
Menyuarakan sentimen yang sama, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari memberi jaminan bahawa kes Yusoff akan disiasat hingga ke akar umbi.
"Waktu itu, jangan terkejut jika ada yang terpaksa ke penjara kerana salah guna kuasa. Rakyat jangan melihat ini sebagai perkembangan yang ringan, jika kepada Yusoff ia boleh berlaku, apakah mustahil ia boleh berlaku juga kepada orang lain? Jawabnya tidak. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
"Hanya dengan arahan 'orang atas'. Kasihan pihak polis yang bertugas dengan penuh dedikasi selama ini," tambahnya dalam catatan Facebook hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jamil Hussin sebelum ini memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan terhadap Yusoff.
Awal minggu ini, Mahkamah Rayuan mengeluarkan penangguhan sementara bagi semua prosiding yang melibatkan saman sivil Yusoff yang dibawa terhadap Anwar.
Ini selepas panel tiga hakim membenarkan permohonan perdana menteri untuk menangguhkan saman sivil sementara menunggu pelupusan permohonan perdana menteri untuk mendapatkan penangguhan penuh.
Perbicaraan mengenai permohonan penangguhan penuh ditetapkan pada 21 Julai.

