PAS mencadangkan rombakan struktur Perikatan Nasional (PN), yang memberikan kuasa operasi yang besar kepada Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin yang juga timbalan presiden Bersatu.
Dalam cadangan itu, satu jawatankuasa eksekutif diketuai Hamzah akan ditubuhkan manakala presiden keempat-empat parti komponen–PAS, Bersatu, Gerakan dan Parti India Rakyat Malaysia (MIPP)–terus memainkan peranan dalam Majlis Tertinggi sedia ada.
Menurut sumber, perkara itu diusulkan bagi menyediakan Hamzah menerajui tampuk kepimpinan sekiranya berlaku pertukaran rejim di peringkat pusat dalam pilihan raya umum akan datang.
“Struktur lain tidak berubah, hanya sebuah jawatankuasa baru dibentuk, macam tubuh biro,” kata sumber kepada Malaysiakini.
Seorang pemimpin Bersatu yang hadir dalam mesyuarat itu memberitahu Malaysiakini bahawa PAS memang tidak berminat merebut jawatan tertinggi dalam negara.
“Mereka percaya dalam gerakan Islam di seluruh dunia, apabila kepimpinan utamanya diterajui oleh Islamis, musuh akan datang menyerang daripada segenap sudut,” dakwanya.
Perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat 10 kepimpinan kanan PN–lima dari PAS dan lima dari Bersatu–pada 18 Februari yang dipengerusikan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Kuala Lumpur, dakwa sumber.

Selain Hadi, timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man turut hadir manakala Bersatu pula diketuai oleh Naib Presiden Radzi Jidin, ditemani pemimpin lain seperti Wan Saiful Wan Jan.
Bagaimanapun, difahamkan idea itu masih tergantung susulan dakwaan penentangan daripada kem setiausaha agung Bersatu Azmin Ali.
Mereka dikatakan mahukan penubuhan Majlis Setiausaha PN agar ia boleh diketuai oleh Azmin sendiri.
Malaysiakini sudah menghubungi pemimpin di atas dan pegawainya bagi mendapatkan komen serta pengesahan. Setakat ini tiada jawapan diterima.
Tuan Ibrahim, pemimpin nombor dua PAS, pada 10 April lalu memberitahu Malaysiakini bahawa PN dijangka melaksanakan penambakan menyeluruh dan rombakan struktur kepimpinan PN.
Perkara itu dimaklumkan selepas timbul drama dalam PN apabila Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dengan melepaskan jawatan bendahari agung PN.
Kejutan itu dibuat sehari selepas PN mengumumkan barisan kepimpinan utamanya yang menyaksikan Azmin dilantik menjadi setiausaha agung, mengetepikan cadangan Pemuda PAS yang mahu ia diisi setiausaha agung mereka Takiyuddin Hassan.
Tiada rombakan, cuma penambahbaikan - Tun Faisal
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz menolak dakwaan rombakan struktur Perikatan Nasional (PN) .

“Berdasarkan kefahaman saya, dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PN Februari yang lepas, tiada cadangan rombakan PN diangkat, dibincang dan diputuskan,” kata kata pemimpin dari kem Azmin itu.
Bagaimanapun dia tidak menolak terdapat cadangan “penambahbaikan” PN.
“Memang ada pelbagai cadangan yang dibuat oleh pelbagai pihak yang sedang dibincangkan, dipertimbangkan dan dipersetujui,” katanya.

