Pemimpin sayap mahasiswa PKR menyatakan kebimbangan dengan amalan politik wang melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikaitkan dengan parti politik tertentu,
Pengerusinya, Yuveraaj Pillai berkata, trend ini semakin berleluasa termasuk dalam kalangan anak muda yang aktif dalam politik apabila mereka menubuhkan NGO bagi memudahkan akses kepada dana daripada pelbagai pihak termasuk ahli politik.
“Ramai anak muda tak sedar pun apa yang mereka buat itu sebenarnya ada unsur rasuah dan politik wang. Sekarang ini ada trend besar – anak muda tubuh NGO, dan NGO ini akan bergerak bersama ahli politik tertentu. Ada dana yang masuk, dan akhirnya NGO itu digunakan untuk jalankan kerja parti.
“Ini langkah kecil sebelum jadi betul-betul korup. Kita nampak benda ini bagus – bantu rakyat, beri bantuan makanan (misalnya). Tetapi realitinya, ia adalah dana kerajaan yang digunakan untuk kepentingan parti politik atau individu tertentu,” katanya.
Dia berkata demikian sebagai menjawab soalan ketika tampil sebagai panel forum ‘Siri Rakyat Benci Rasuah 2.0: Pelantikan Azam Baki, wajar atau tidak?’ di Petaling Jaya, semalam.
Forum anjuran Sekretariat Rakyat Benci Rasuah itu turut menampilkan Pengerusi Pusat Membantah Rasuah dan Korisme (C4) Edmund Terence Gomez dan Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abd Aziz.

Yuveraaj berpendapat, dana yang diterima NGO bukan daripada parti politik secara langsung, sebaliknya melalui jalan lain seperti peruntukan wakil rakyat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau agensi-agensi kerajaan.
“Parti politik tidak akan salurkan duit terus kepada NGO. Biasanya dana ini datang melalui orang politik yang pegang jawatan dalam kerajaan. Mereka akan gerakkan NGO untuk buat kerja-kerja parti secara tidak langsung,” katanya.
Yuveraaj, yang menyertai PKR sejak berusia 18 tahun berkata, semasa partinya berada dalam pembangkang, mereka tidak mempunyai akses kepada dana dan semua kerja dilakukan atas dasar prinsip.
“Tapi bila dah jadi kerajaan, akan muncul ahli politik yang tanamkan pemikiran bahawa setiap pergerakan mesti ada imbuhan. Lama-lama anak muda dalam politik akan fikir, mereka tak patut buat kerja tanpa dapat pulangan,” katanya.

Tambahnya lagi, ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menggunakan alasan kos pengurusan untuk ‘ambil bahagian’ daripada dana yang diperoleh.
“Undang-undang tak kata pun kita boleh ambil 30 peratus duit NGO untuk diri sendiri. Tapi sekarang ini ramai yang buat macam itu. Dapat RM10,000, ambil RM3,000 untuk diri sendiri konon sebagai gaji. Yang tinggal (baki) baru digunakan untuk rakyat,” katanya.
Upah buat laporan polis
Dia memberi amaran bahawa jika budaya ini dibiarkan, ia akan terus membarah dan menjadikan anak muda dalam politik hilang integriti sejak awal lagi.
Memetik contoh lain Yuveraaj berkata, turut menjadi kebiasaan dalam kalangan parti politik, iaitu mengupah anak muda untuk membuat laporan polis secara beramai-ramai terhadap ahli politik lawan.
“Selalunya kita akan nampak parti politik arahkan untuk buat laporan polis ramai-ramai dekat balai. Tapi realitinya, tiada siapa yang akan buat laporan itu tanpa sagu hati.
“Bayangkan kamu umur awal 20-an, masih belajar atau kerja sebagai cashier. Tiba-tiba dapat panggilan daripada orang parti untuk buat laporan polis ke atas ahli politik tertentu. Satu laporan, dapat RM300.
“Mungkin RM500 pun ada. Ini kerja satu jam saja. Jadi, walaupun kononnya ia dibuat atas nama ‘perjuangan’ atau ‘moral’, sebenarnya ia jadi jalan mudah untuk dapat duit,” jelasnya.

