malaysiakini logo
story-image
ADS

Sekretariat Rakyat Benci Rasuah sekali lagi akan mengadakan himpunan pada 28 Jun ini bagi mendesak kerajaan mempercepat pelaksanaan reformasi institusi dalam usaha memerangi rasuah.

Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 itu dijadual bermula jam 2.30 petang di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur sebelum peserta berarak ke Dataran Merdeka.

Penganjuran acara itu susulan himpunan pertama pada 25 Januari lalu serta penyerahan memorandum kepada kerajaan pada Februari lalu tidak mendapat sebarang maklum balas konkrit daripada pihak berkuasa.

“Kerajaan Madani masih belum menjawab tuntutan kami dengan dasar atau tindakan antirasuah yang konkrit.

“Kerajaan pimpinan (Perdana Menteri) Anwar Ibrahim ini nampaknya lebih selesa berdiam diri, walaupun janji-janji reformasi telah diulang berkali-kali sejak era pembangkang,” kata penganjur pada sidang media di Petaling Jaya, malam tadi.

Salah seorang jurucakap sekretariat berkenaan, Brendon Gan, 24, berkata dia berharap gelombang rakyat yang lebih besar dalam himpunan kali kedua nanti.

“Jikalau pada demonstrasi yang lepas dalam tempoh masa dua minggu, sekretariat boleh memobilisasikan dalam 400 rakyat Malaysia, tidak mustahil kali ini kami boleh memobilisasikan lagi ramai untuk turun, untuk menekan kerajaan.

“Jadi, seruan kepada rakyat Malaysia, anak muda, aktivis dan mahasiswa. Jika pada hari ini anda mempersoalkan apa kepentingan untuk turun ke jalan, (ia) untuk demonstrasi dan menuntut janji-janji reformasi kosong yang telah dilontarkan oleh kerajaan,” tegasnya.

Sementara itu Sekretariat Rakyat Benci Rasuah turut menyifatkan kerajaan sebagai gagal menunaikan janji reformasi, malah melabel Pakatan Harapan sebagai “hipokrit” kerana tiada satu pun reformasi institusi yang dijanjikan dilaksanakan setakat ini.

Mereka turut mengemukakan tuntutan berikut:

1. Pemisahan kuasa antara Pejabat Peguam Negara (AGC) dan Pejabat Pendakwa Raya (OPP), dengan meminda Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah.

2. Menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan bebas, termasuk penyemakan semula akta SPRM dan had penggal Ketua Pesuruhjaya SPRM.

3. Menggubal Akta Pendanaan Politik seperti yang dicadangkan oleh Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM).

4. Menuntut penjelasan terhadap kes kematian Teoh Beng Hock, yang menurut SRBR terus dibiarkan tanpa perkembangan signifikan walaupun kerajaan kini adalah gabungan yang pernah menjanjikan keadilan dalam kes itu.

Mereka menegaskan akan terus membuat tuntutan selagi ia tidak diambil serius.

“Kami letih menghadap sikap acuh tak acuh kerajaan. Jika Kerajaan Madani dilihat seperti telah dijinakkan oleh rasuah, tidak hairan kalau suatu hari nanti ia tumbang seperti Najib Razak kerana 1MDB,” tegas mereka.

Sekretariat turut menyatakan sokongan terhadap Himpunan Gempur Rasuah Sabah yang akan berlangsung pada 21 hingga 22 Jun ini.

“Himpunan ini adalah sah, aman dan inklusif. Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk turun bersama dan menuntut perubahan.

“Rasuah adalah bencana, melawannya satu ibadah,” kata sekretariat itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen