ULASAN SUKAN | Rasa bahagia dan bangga nampaknya belum reda dalam kalangan komuniti bola sepak di Malaysia.
Ia adalah wajar selepas skuad Harimau Malaya melunaskan ‘hutang’ yang tertangguh sejak sekian lama, dan mereka melakukannya dengan begitu cemerlang.
Peminat bola sepak pula berasa bahawa era baru bola sepak negara sudah lahir. Ternyata kehadiran lima pemain warisan sudah memberi impak besar pada kemunculan pertama mereka.
Apa pun, kemenangan besar 4-0 ke atas Vietnam dalam saingan kelayakan Piala Asia 2027 tempoh hari hadir bersama satu peringatan – kita belum lagi layak secara rasmi ke pusingan akhir di Arab Saudi.
Kita cuma baru menang satu perlawanan penting dan ia membuka peluang terbaik ke arah itu.
Mulai sekarang, usaha gigih perlu digandakan oleh pengurusan Harimau Malaya dan juga semua pihak bagi meneruskan rentak positif untuk satu tempoh yang panjang. Ia bukan untuk tempoh enam bulan, satu atau pun dua tahun saja.
Dalam sejarah bola sepak negara, sudah beberapa kali ‘era baru’ seperti ini pernah terlahir sebelum ia kemudian tenggelam perlahan-lahan ekoran persembahan kurang konsisten atau pun kehambaran sistem pengurusan pasukan.
Faktor lain juga – mungkin – disebabkan bekalan pemain tempatan yang dipilih ‘kurang sengat’ atau kurang berkemampuan untuk menonjol di pentas terbesar, khasnya pada alaf baru ini.
Atau apakah tenaga tempatan kita sekadar mampu memperagakan kelibat garang di peringkat Asia Tenggara saja?
Mula membiasakan diri
Keluarga besar bola sepak Malaysia juga berulang kali melihat pencapaian terumbang-ambing kita dalam tempoh 10 atau 20 tahun lalu.
Kita cuma minta episod ‘sedih-sedih’ seperti itu dinoktahkan.
Biarlah isu kenapa bilangan pemain tempatan kurang dalam pasukan negara tidak dipanjangkan lagi bicaranya. Kita pun tidak tahu bagaimana kesudahannya jika polemik ini dipanjangkan.
Yang pasti, anak watan kita tidak mungkin dipinggirkan jika ada kualiti dalam permainan masing-masing. Anggaplah kehadiran pemain warisan itu sebagai penguat semangat dan pencetus cabaran bagi mereka.
Pada era digital ini, kita perlu bergerak ke hadapan kerana apa yang penting skuad negara sentiasa maju, melakar nama gemilang dan berdiri sama tinggi dengan pasukan gergasi serantau – malah di peringkat lebih besar suatu hari nanti.
Rasa-rasanya, selepas apa disajikan oleh skuad negara berwajah baru di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lalu, persepsi lama itu mungkin akan secara perlahan-lahan berubah juga apabila tiba masanya.
Andai kejayaan demi kejayaan dilakar, peminat Harimau Malaya akan menerima hakikatnya dan mula membiasakan diri dengan senario dalam pasukan – sama ada pemain itu adalah berstatus warisan, naturalisasi atau pun anak tempatan.
Semuanya akan kembali kelihatan sama.

Jika skuad negara mula mencecah atau menghuni angka 100 teratas secara konsisten dalam ranking dunia, mungkin isu ini tidak lagi menjadi pertikaian. Peminat dan pengkritik akan lebih ghairah kepada angka ke-99 pula, umpamanya.
Untuk itu, bola sepak kita perlu ada satu sistem dan struktur kukuh untuk sentiasa diikuti pasukan senior negara dan juga barisan pelapis negara. Program pembangunan utama juga harus bergerak tanpa tersekat-sekat atau pun diubah-ubah tanpa alasan kukuh.
Berbalik pada misi layak ke Piala Asia.
Persoalannya, mampukah Harimau Malaya mengekalkan kualiti permainan sama dan konsisten bagi cabaran selepas ini?
Anak tempatan tetap membanggakan
Kita mungkin tidak akan berdepan masalah bertemu Laos pada 9 Okt dan 14 Okt sebelum melayan Nepal (18 Nov) dalam saingan kumpulan F selepas ini.
Tapi Vietnam tentu sedang menunggu dengan lebih garang di laman sendiri pada 31 Mac ini untuk menebus kecewa.
Di sini misi untuk ketua jurulatih, Peter Cklamovski kian mencabar. Pengendali dari Australia itu perlu sentiasa memastikan api semangat anak didiknya sentiasa garang semasa mengadun ramuan taktikal antara pemain tempatan, naturalisasi dan warisan.
Kita ada tiga kategori pemain yang harus dipadan dan disatukan segera dengan sasaran serupa – menggapai impian cemerlang demi Jalur Gemilang.

Lima pemain warisan baru yang didatangkan – Facundo Garces (Sepanyol), Imanol Machuca (Argentina), Jon Irazabal (Azerbaijan), João Figueiredo (Turkiye) dan Rodrigo Holgado (Colombia) macam sudah menyesuaikan diri dengan pantas.
Begitu juga dua lagi pemain warisan - Hector Hevel (Belanda) dan Gabriel Palmero (Sepanyol).
Tapi ini tidak bermakna kita sudah lupa sumbangan besar penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed, Arif Aiman Hanapi dan Nazmi Faiz Mansor, sebagai tenaga tempatan yang membanggakan.
Penulis amat tertarik dengan Arif Aiman. Ketika tumpuan terarah kepada pemain warisan baru, jelas pemain sayap berusia 23 tahun ini menonjol semasa mengatur asakan ke gawang Vietnam.
Malah, dua daripada jaringan skuad negara pada babak kedua itu berpunca hasil bantuannya dengan hantaran dan lorongan tepat ke arah Holgado dan La’Vere Corbin Ong.

Sesungguhnya dia menambah dimensi jentera serangan skuad negara dan tetap akan menjadi tonggak utama pasukan.
Sifat tenang pada Arif Aiman dalam gempuran juga boleh menjadi satu aset kepada skuad negara.
Tidak keterlaluan jika kita anggap kualiti diperagakan olehnya sama sahaja dengan kelibat pemain warisan atau naturalisasi lain.
Usaha menjejaki boleh dibantu
Jadi, ada sebab untuk kita menganggap pemain tempatan tertentu tetap ada sengat untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan selepas ini.
FAM pula kebelakangan ini menunjukan kegigihan yang terpuji. Justeru penulis beranggapan badan induk itu akan terus mencari beberapa pemain warisan baru untuk memperkuat Harimau Malaya.
Pun begitu jangan lupa untuk terus cuba mendapatkan segenggam pemain muda berbakat untuk diserapkan dalam skuad remaja kebangsaan sebagai pelapis masa depan, misalnya.
Kita boleh lebih teliti mencari pemain warisan baru yang berusia sekitar 18 sehingga 21 tahun.
Pertama, untuk menguatkan skuad remaja negara kita (jika khidmat diperlukan) dan kedua, sebagai bekalan untuk skuad senior satu hari nanti.
Usaha itu mungkin boleh menjadi lebih mudah dan berkesan jika dibantu oleh maklumat daripada pemain warisan kita.
Mana tahu, adik mereka, anggota keluarga terdekat, saudara-mara serta rakan kenalan mereka juga ada pertalian darah dengan Malaysia?
Apa pun, pada ketika ini menantikan aksi seterusnya Harimau Malaya sangat mengujakan.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

