malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
UM batal forum bincang isu Azam Baki, dakwa penganjur
Diterbitkan:  Jun 12, 2025 8:16 PM
Dikemaskini: 12:16 PM
ADS

Universiti Malaya (UM) dikritik kerana didakwa membatalkan sebuah forum berkaitan isu rasuah pada saat akhir tanpa memberikan sebarang notis rasmi, mencetuskan desakan permohonan maaf daripada penganjur program.

Sekretariat Rakyat Benci Rasuah menyuarakan rasa kesal atas tindakan pihak Hal Ehwal Pelajar UM yang tidak membenarkan forum bertajuk “Pelantikan Azam Baki, wajar atau tidak?” untuk diteruskan di premis universiti.

Acara tersebut pada asalnya dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam ini di Auditorium JHB, UM, namun penganjur mendakwa ia dibatalkan secara mengejut tanpa sebarang pemakluman bertulis.

"Penganjur menerima panggilan tanpa notis bertulis, menyatakan forum dibatalkan tanpa sebarang alasan munasabah dan disertai layanan tidak profesional.

"Kami juga kecewa apabila cubaan untuk mendapatkan penjelasan lanjut dibalas dengan sikap acuh tak acuh.

"Ini bukan sahaja memalukan, malah mencerminkan keutamaan birokrasi yang lebih mementingkan keselesaan sendiri daripada hak pelajar," kata sekretariat itu.

Tetamu undangan forum yang dibatalkan itu termasuk tokoh seperti ahli ekonomi politik Edmund Terence Gomez, Pengerusi Bersih Faisal Aziz, Yuveraaj Pillai daripada Mahasiswa Keadilan Malaysia, serta Thishant Sai Sugaythran mewakili Suara Siswa UM.

Malaysiakini sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak UM mengenai dakwaan ini.

Forum pindah ke Rumah Mandiri, PJ

Ekoran tindakan pembatalan tersebut, pihak sekretariat telah menukar lokasi forum ke Rumah Mandiri di Petaling Jaya, bagi memastikan wacana ilmiah itu tetap dapat diteruskan.

Penganjur juga berkata pihaknya menuntut agar UM memberikan jaminan bertulis bahawa pembatalan forum pelajar seperti ini tidak akan berlaku lagi tanpa penjelasan sewajarnya dan agar pihak universiti kekal komited kepada prinsip kebebasan akademik.

"Kami menyeru seluruh komuniti kampus untuk bersolidariti dan mempertahankan hak kita untuk bersuara.

"Universiti bukan kilang pengeluaran graduan bisu, tetapi medan mencambah intelektualisme.

"Jangan biarkan budaya takut dan patuh terus menjalar dalam sistem pendidikan tinggi kita.

“Rasuah adalah bencana, melawannya satu ibadah'," kata kenyataan itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen