Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa agar Yusoff Rawther diberikan perlindungan susulan pembebasannya daripada pertuduhan yang dilihat bermotifkan politik — satu situasi yang disamakan dengan bagaimana bekas ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, dilayan ketika mencabar perdana menteri-perdana menteri sebelum ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini telah membebaskan Yusoff, bekas pembantu penyelidik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan mengedar dadah dan memiliki dua pistol tiruan.
Hakim Jamil Hussin memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.
“Ada hari-harinya kita berasa bangga sepenuhnya terhadap badan kehakiman kita, dan hari ini adalah salah satu daripadanya.

“PSM memuji penghakiman oleh Jamil, yang memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie untuk kedua-dua pertuduhan.
"Keputusannya tidak mengejutkan — kebanyakan orang sudah boleh mengesan bahawa ini adalah pertuduhan rekaan terhadap seorang anak muda yang berani mencabar arus kuasa.
“Ketika Anwar dipenjarakan, kami berhimpun di luar penjara dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) atas dakwaan keracunan arsenik, kerana beliau menentang perdana menteri ketika itu.
“Hari ini, Yusoff berada dalam situasi yang hampir sama,” kata Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan (gambar bawah) pada satu kenyataan.

“Ironinya, PSM kini berharap negara sendiri akan memastikan keselamatan Yusoff, walaupun dia berdiri menentang perdana menteri,” tambah beliau.
Arutchelvan turut menimbulkan persoalan mengenai keselamatan Yusoff.
Dikurung di sel hukuman mati
“Dengan Yusoff kini dibebaskan oleh mahkamah, saya tertanya-tanya: Adakah dia benar-benar bebas dan selamat?

"Saya dimaklumkan bahawa dia ditempatkan di sel hukuman mati di Sungai Buloh.
“Bayangkan kesan psikologinya. Adakah mimpi ngeri ini benar-benar telah berakhir,” soalnya.
Dia berkata kes Yusoff menjadi satu lagi bukti mengapa pemisahan kuasa dan sistem perlindungan saksi yang menyeluruh perlu diwujudkan.
“Badan kehakiman dan para hakim mesti dilantik secara bebas, tanpa campur tangan eksekutif,” tegasnya.
Saman kerajaan?
Beberapa jam selepas mahkamah membebaskan anak guamnya, peguam Yusoff — Rafique Rashid Ali — memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa anak guamnya terbuka untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri.
“Semua pilihan terbuka,” jawab Rafique ringkas.
Dia berkata demikian sebagai maklum balas terhadap gesaan daripada Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari dan beberapa pemimpin pembangkang lain agar Yusoff mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak polis dan kementerian.

Ahmad Fadhli (gambar atas) berkata tindakan undang-undang itu bertujuan mendedahkan siapa yang didakwa mengarahkan dadah dan senjata tiruan “dipasang” ke atas bekas pembantu penyelidik itu.
Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut berkongsi semula hantaran Fadhli sebagai tanda sokongan. Katanya, dia yakin terdapat satu konspirasi politik jahat sedang berlaku.
Usah aniaya
Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin (gambar bawah) pada kenyataan berasingan turut menyuarakan kebimbangan terhadap kes Yusoff dan memberi amaran mengenai penyalahgunaan kuasa.

"Usah menganiaya dan menzalimi orang lain walaupun ada kuasa. Sesungguhnya tiada penghalang antara doa orang yang dizalimi dengan Allah SWT.
"Kuasa itu adalah ujian dunia. Sampai masa yang berkuasa pun rebah ke bumi jua," kata ahli parlimen Putrajaya itu menerusi hantaran media sosial.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah turut menyambut baik keputusan mahkamah dan menganggapnya sebagai satu kemenangan bagi kebebasan asas.
Ahli parlimen Indera Mahkota itu turut mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk penganiayaan politik, terutamanya akibat perbezaan pandangan politik, sambil menegaskan tindakan seperti itu mesti ditolak.

