Perdana Menteri, Anwar Ibrahim digesa menyelesaikan kelewatan Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) dalam mengagihkan dana kepada program yang telah diluluskan, kata seorang Ahli Dewan Negara dari DAP.
Dr A Lingeshwaran berkata, dia difahamkan sebanyak 45 program berfokuskan komuniti yang disokong oleh Mitra dan bernilai RM40 juta di bawah Fasa 1 Belanjawan 2025, masih belum menerima dana.
"Ini bukan permohonan yang masih dalam proses. Ini melibatkan 45 perjanjian yang telah diluluskan sepenuhnya dan ditandatangani, termasuk NGO sah, penyedia latihan, dan rakan pembangunan sosial – semuanya menunggu dana yang sepatutnya sudah diagihkan.
"Empat bulan telah berlalu sejak kelulusan diberikan, tetapi dana masih belum sampai. Ini bukan sekadar kelewatan birokrasi – ia adalah kegagalan serius dalam penyampaian.
'Dana ini sepatutnya menyokong pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan keusahawanan, pemerkasaan wanita, dan inisiatif lain yang memberi impak besar. Kelewatan ini mengganggu pelaksanaan program, melengahkan jadual komuniti, dan menguji kesabaran pihak yang bekerjasama dengan niat baik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lingeshwaran menegaskan bahawa permohonan Program Geran Pembangunan Sosioekonomi Mitra 2025 (PPSMI) telah dibuka dari 2 Dis 2024 hingga 5 Jan 2025, iaitu enam bulan lalu.
"Pemohon telah memenuhi semua syarat – menghantar cadangan, melalui penilaian, mendapat kelulusan, dan menandatangani perjanjian rasmi. Satu-satunya langkah tertinggal ialah Mitra perlu melepaskan dana. Namun tiada sebarang perkembangan.
"Saya menyeru Mitra supaya segera jelaskan sebab-sebab di sebalik kelewatan ini. Dedahkan halangan dalaman atau luaran yang menghalang penyaluran dana," katanya.
Pemimpin DAP itu turut menggesa Anwar mengarahkan Mitra mengeluarkan laporan penuh awam mengenai status RM100 juta yang diperuntukkan di bawah Bajet 2025 - termasuk jumlah yang diluluskan, dikeluarkan dan belum selesai.
"Perdana menteri juga mesti memastikan pelaksanaan jadual pengeluaran yang jelas, mengikut masa, dipantau dan dikemaskini secara terbuka setiap bulan," katanya.
Lingeshwaran menegaskan bahawa isu itu adalah di luar mekanisme belanjawan kerana ia juga melibatkan faktor kepercayaan antara kerajaan dan masyarakat India.
"Isu ini bukan sekadar soal teknikal bajet. Ia menyentuh kepercayaan antara kerajaan dan masyarakat India. RM100 juta ini bukan simbolik. Ia alat praktikal untuk menangani ketidaksamaan yang berakar umbi.
"Setiap bulan kelewatan bermakna peluang yang hilang," katanya.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi Pengerusi Mitra P Prabakaran untuk mendapatkan ulasan.

