malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pengarah bengang pawagam tamat awal tayangan Gantung
ADS

Pengarah dan penerbit filem Gantung: Musketeer Code, Nadia Mohammad Hatta kesal dengan tindakan Golden Screen Cinemas Sdn Bhd (GSC) yang didakwa menamatkan tayangan filem arahannya lebih awal dari tempoh minimum 14 hari seperti ditetapkan di bawah Skim Wajib Tayang oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) .

Menurut Nadia, 40 (gambar bawah) filem adaptasi novel popular tulisannya itu ditamatkan tayangannya di semua cawangan GSC bermula 11 Jun walaupun belum mencapai tempoh dua minggu tayangan sejak ia mula ditayangkan pada 5 Jun lalu.

“Kita mendapat pengkhabaran itu semalam hanya melalui aplikasi X (dulu dikenali sebagai Twitter) apabila GSC memaklumkan bahawa semalam adalah hari terakhir mereka menayangkan filem tersebut.

“Seluruh GSC tidak lagi menayangkan filem itu hari ini walaupun sebenarnya jika mengikut Skim Wajib Tayang, GSC sepatutnya menayangkannya selama dua minggu,” katanya kepada Malaysiakini.

Tindakan tersebut menjadikan filem berkenaan hanya bertahan selama enam hari di rangkaian pawagam tersebut.

GSC dalam satu kenyataan di platform X memaklumkan bahawa keputusan menghentikan tayangan dibuat berikutan prestasi kutipan tiket yang tidak memberangsangkan dalam empat hari pertama tayangan.

Namun, Nadia — yang juga dikenali sebagai Nadia Khan — menolak alasan itu kerana menurutnya tempoh tersebut berlaku ketika ramai penonton sedang sibuk membuat persiapan Hari Raya Aidiladha.

“Mereka beralasan bahawa filem ini tidak mendapat sambutan dalam empat hari pertama tayangan, tapi kita kena ingat bahawa empat hari pertama tayangan tu orang tengah sibuk dengan persiapan raya haji.

“Rata-rata peminat menyatakan mereka mahu tonton filem ini pada hujung minggu ini, tapi malangnya sudah ditarik tayangannya,” katanya.

Tambahnya, tindakan GSC dilihat memanfaatkan kelonggaran yang terdapat dalam Skim Wajib Tayang untuk menarik filem lebih awal.

“Mereka gunakan loophole (kelompongan perjanjian) dalam Skim Wajib Tayang kerana di dalam skim itu ada menyatakan jika sesuatu filem itu tidak mencapai peratusan tertentu, panggung dibenarkan tarik tayangan.

“Namun bagi saya, perkara yang digunakan ini tidak munasabah kerana tidak mengambil kira raya haji dan waktu tayangan dibuat adalah waktu-waktu yang tidak fleksibel seperti 10 pagi, 1 tengah hari jadi siapa yang nak pergi tonton waktu sedemikian melainkan mereka yang sudah bersara atau tidak bekerja.

“Tayangan pada waktu malam ada tetapi terlampau sedikit di setiap panggung,” jelasnya.

Berdasarkan skim itu, penayangan wajib sesuatu filem boleh ditarik balik apabila bilangan penonton selepas empat hari kurang 15 peratus daripada kapasiti panggung.

Malaysiakini masih cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak GSC dan juga Finas berhubung isu ini.

Sebagai makluman, Skim Wajib Tayang diperkenalkan sejak Jun 2005 menetapkan pawagam wajib menayangkan filem tempatan atau filem usaha sama Malaysia yang layak selama sekurang-kurangnya 14 hari berturut-turut.

Ia bertujuan memberi ruang tayangan yang adil kepada filem tempatan dalam persaingan dengan filem antarabangsa berstatus blockbuster.

Gantung: Musketeer Code filem adaptasi novel tulisan Nadia Khan sendiri dan mengisahkan empat pelajar lelaki di sebuah sekolah berasrama yang dituduh sebagai penyebab insiden pelajar perempuan membunuh diri di auditorium sekolah. Filem ini dilaporkan menelan kos penerbitan sekitar RM750,000.

Difahamkan kutipan tiket untuk filem itu hanya sebanyak RM106,000 selepas tayangan minggu pertama di 56 buah pawagam.

Hanya GSC yang tidak lagi menayangkan filem itu. Selain beberapa pawagam independen, TGV masih menayangkannya di dua pawagam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen