Pengenaan cukai terhadap golongan maha kaya pemilik kekayaan akan menjana hasil 60 peratus lebih tinggi berbanding jumlah yang bakal diperoleh daripada peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata Pengurus NGO Monitoring Sustainability of Globalisation (MSN) V Aishwarya.
Katanya, hasil kutipan tersebut boleh digunakan untuk membiayai makanan percuma di sekolah dan pemasangan panel solar di perumahan kos rendah.
“Menurut laporan Forbes, 50 individu terkaya di Malaysia kini memiliki kekayaan berjumlah RM414 bilion.
“Cukai kekayaan sebanyak dua peratus akan membolehkan kerajaan mengutip RM8.3 bilion — iaitu 60 peratus lebih banyak daripada RM5 bilion yang disasarkan melalui kenaikan SST.

“Jadi, mengapa kita cukai pisang dan minyak sebelum (kenakan cukai pada) rumah agam,” soalnya.
MOF: Buah tempatan dikecualikan SST
Semalam, Kementerian Kewangan memaklumkan buah-buahan yang ditanam di dalam negara dikecualikan daripada SST.
Di bawah Akta Cukai Jualan, hanya barangan buatan tempatan dikenakan cukai — serta apa-apa barang yang diimport.

“Hasil pertanian yang ditanam di Malaysia bukan merupakan barangan yang dikilangkan; oleh itu, ia tidak tertakluk kepada cukai jualan.
“Namun, sekiranya buah-buahan tersebut diimport, maka ia akan dikenakan cukai berkenaan.
“Ini termasuk buah-buahan tropika seperti pisang, nanas dan rambutan,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, keputusan itu mendapat reaksi negatif daripada kumpulan pengguna yang memberi amaran keluarga berpendapatan rendah mungkin akan mengurangkan pengambilan buah, sekali gus menjejaskan pemakanan sihat dan kesihatan.
Sebuah Ferrari: 500,000 makanan percuma
Mengulas lanjut mengenai cadangan cukai harta kekayaan, Aishwarya berkata jika seseorang memiliki RM100 juta, cukai kekayaan dua peratus bermakna individu itu akan “hilang” RM2 juta — atau tidak mampu membeli sebuah lagi kereta Ferrari.
Namun, menurutnya, jumlah RM2 juta itu cukup untuk membiayai 500,000 hidangan percuma di sekolah.
Di samping itu, sebahagian dana hasil kutipan cukai boleh digunakan untuk memasang panel solar di perumahan kos rendah, yang bukan sahaja membantu mengurangkan bil elektrik, tetapi juga meningkatkan pendapatan boleh guna dan menyalurkan tenaga bersih ke grid nasional.
“Menurut laporan Unicef, keluarga berpendapatan rendah membelanjakan 38 peratus daripada pendapatan mereka untuk membeli makanan.
“Namun kita masih terus mengenakan cukai ke atas penggunaan, bukannya kekayaan,” tambah Aishwarya.

