Gabungan NGO dikenali sebagai Himpun hari ini menuntut agar ruang yang lebih luas diberikan untuk himpunan aman dilaksanakan, termasuk tiada penetapan had usia selain boleh disertai warga asing.
Jurucakap Himpun, Wong Kueng Hui, berkata sekretariat itu melancarkan kempen Rampas Ruang Awam dengan mengemukakan tiga tuntutan utama terhadap pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012).
Pertama, katanya, mereka mendesak kerajaan mengiktiraf hak untuk mengadakan perhimpunan tanpa sebarang keperluan notis kepada pihak polis.
Katanya undang-undang sedia ada yang menetapkan notis lima hari sering digunakan pihak berkuasa untuk menyekat reaksi segera terhadap isu mendesak.
"Kedua, pemansuhan peruntukan-peruntukan hukuman terhadap penganjur dan peserta perhimpunan aman.
“Ini termasuk pindaan terhadap peruntukan yang menjadikan kesalahan ke atas ketidakpatuhan prosedur walaupun perhimpunan itu berlangsung secara aman,” katanya.
Tuntutan ketiga Himpun pula, katanya, ialah pindaan terhadap larangan yang dianggap mereka bersifat diskriminatif dalam APA 2012.

“Ini termasuk larangan individu bawah umur 21 tahun daripada menganjurkan perhimpunan, serta peluasan hak untuk berhimpun kepada bukan warganegara," katanya dalam sidang media di Petaling Jaya, hari ini.
Hadir sama pada sidang media ialah Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz; Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, S Arulchelvan; dan dan penyelaran Federasi Pemuda Kebangsaan (Federasi), Hamid Nordin.
Untuk rekod selain Mandiri, Himpun dianggotai Liga Mahasiswa Malaysia, Lawyers for Liberty; Federasi, Bersih, Mahasiswa Demokratik, PSM, Suaram dan Gerakan Perempuan Melawan.
Pada 30 April lalu, kerajaan memaklumkan cadangan mereka meminda APA 2012 yang dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada persidangan terdekat atau Okt ini.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata melalui pindaan tersebut hak rakyat untuk berhimpun secara aman dapat diperkukuhkan.
Sementara itu, Wong yang juga penyelaras Mandiri berkata mereka akan mengadakan siri jelajah bagi menguar-uarkan kempen berkenaan dan memberi pendedahan kepada masyarakat awam.
Katanya, sekretariat itu turut menyambut baik kenyataan perdana menteri berhubung keizinan pemilik tempat yang sering digunakan sebagai alat menyekat hak rakyat.
"Sehubungan itu kami menegaskan bahawa kerajaan wajib menjalankan libat urus telus dalam proses pindaan APA 2012 secara langsung dengan pemegang taruh," katanya lagi.

