malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dua individu bakal didakwa berhubung kes rasuah Sabah - Azam
Diterbitkan:  Jun 12, 2025 2:34 PM
Dikemaskini: 6:34 AM
ADS

Sekurang-kurangnya dua individu akan didakwa tidak lama lagi berhubung skandal rasuah di Sabah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dipetik The Star hari ini turut memberi bayangan akan ada ada lagi individu lain didakwa.

“Saya akan umumkan dalam masa terdekat mengenai pendakwaan terhadap individu-individu dalam kes ini,” katanya selepas menghadiri satu program di Bangi.

Perkembangan ini hadir di tengah-tengah tekanan terhadap pihak berkuasa untuk mengambil tindakan berhubung skandal tersebut yang melibatkan beberapa ahli politik Sabah.

Pada 6 Jun lalu, Azam mengesahkan SPRM telah melengkapkan kertas siasatan berhubung satu video yang didakwa mengaitkan seorang Adun Sabah.

Kertas siasatan itu telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan dua minggu lebih awal.

Pada 29 April lalu, Azam memaklumkan bahawa analisis forensik terhadap 10 klip video yang diserahkan kepada suruhanjaya itu pada 11 Mac lalu sedang diteliti.

Klip-klip video itu didakwa mengaitkan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor dan beberapa Adun lain dalam skandal berkenaan.

Pemberi maklumat di sebalik video-video tersebut— seorang ahli perniagaan berusia 36 tahun yang dikenali sebagai Albert — turut menyerahkan bukti tambahan pada hari yang sama.

Bukti itu dilaporkan merangkumi hampir 300 muka surat yang mengandungi nama-nama saksi, perbualan WhatsApp, rekod panggilan dan dokumen.

Sejak Nov tahun lalu, Albert menyiarkan beberapa siri rakaman video dan mesej yang didakwa menunjukkan Adun di Sabah termasuk Speaker DUN, terlibat dalam rasuah.

Albert mendakwa dia membayar rasuah untuk mendapatkan lesen cari gali mineral, namun mengambil keputusan untuk tampil ke hadapan selepas lesen-lesen tersebut dibatalkan.

Hajiji kemudian mendakwa pemberi maklumat itu bersekongkol dengan pihak tertentu untuk menggugat pentadbirannya.

Albert pula berdepan dakwaan bahawa dia cuba memonopoli sektor perlombongan di negeri melalui cara penipuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen