malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Noraini lebih berpotensi ganti Zafrul berbanding KJ, dakwa sumber
ADS

Spekulasi terus hangat mengenai siapa yang akan dicalonkan Umno bagi mengisi kuota tujuh jawatan menteri dari parti terbabit selepas Tengku Zafrul Abdul Aziz memilih untuk menyertai PKR.

Walaupun terdapat cakap-cakap mengenai Khairy Jamaluddin membuat kemunculan semula, sumber dalaman parti berkata terdapat calon yang lebih besar kemungkinan – Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad.

“Ini berdasarkan faktor senioriti dalam parti,” kata seorang penggerak politik yang rapat dengan pejabat Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, yang enggan dinamakan.

Meskipun Wanita Umno hanya berstatus sayap parti, ketuanya memegang status setaraf timbalan presiden.

Ia meletakkan Noraini setaraf dengan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, dan lebih tinggi daripada tiga naib presiden parti itu – Mohamed Khaled Nordin, Johari Ghani, dan Wan Rosdy Wan Ismail.

Mohamad, Khaled dan Johari kini merupakan menteri penuh dalam kabinet Anwar, manakala Wan Rosdy menjadi Menteri Besar Pahang.

Selain daripada faktor senioriti, pelantikan Noraini sebagai menteri juga mungkin memberi suntikan semangat kepada Wanita Umno – yang sekian lama dianggap sebagai tulang belakang parti terutamanya di kawasan luar bandar.

Noraini kini memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Perlu berdamai dulu

Sumber parti menyatakan dia mungkin kembali menyandang jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, satu jawatan yang pernah dipegangnya dari 2020 hingga 2022 dalam pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Noraini enggan memberi sebarang komen apabila dihubungi.

Sementara itu, sumber sama yang menyokong Noraini menjelaskan bahawa mereka yang meletakkan harapan pada Khairy mungkin tidak mempunyai peluang yang tinggi.

Khairy – bekas ketua Pemuda Umno – adalah antara beberapa ahli yang dipecat parti itu pada Jan 2023 kerana didakwa melanggar disiplin semasa PRU ke-15.

Sebelum dipecat, Khairy secara terbuka ‘berlaga angin’ dengan Ahmad Zahid. Malah dia bertanding dalam pemilihan jawatan tertinggi Umno dengan mencabar Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut.

Apabila keputusan diumumkan pada 1 Julai 2018, Khairy dijarakkan daripada Ahmad Zahid dengan hanya 25 undi. Ahmad Zahid memperoleh 78 undi.

Kini berada di luar politik secara langsung, seorang sumber parti menyatakan bahawa jika Khairy memilih mahu kembali aktif, dia perlu berdamai dengan Ahmad Zahid terlebih dahulu.

Pun begitu walaupun Khairy nanti diterima semula dalam Umno, sumber dalaman berkata, peluang namanya dicalonkan sebagai menteri adalah tipis.

“Pertama sekali, dia bukan pun ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

“Justeru pada asasnya, dia tidak patut pun tersenarai sebagai calon menteri kerana itu adalah syarat minimum yang ditetapkan oleh Umno,” kata sumber dari ibu pejabat parti.

Adun Bertam juga disebut

Pun begitu perlu diingat, Tengku Zafrul masih dilantik sebagai menteri dalam pentadbiran Anwar Ibrahim walaupun ketika itu dia belum memegang sebarang jawatan dalam MKT Umno.

Tengku Zafrul hanya dilantik sebagai anggota MKT parti tersebut beberapa bulan selepas menjadi menteri.

Khairy sebelum ini menolak kemungkinan dia kembali ke kabinet dalam masa terdekat dan “tidak bercadang untuk kembali ke dunia politik” sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini.

Perkara itu sebenarnya signifikan kerana tempoh Tengku Zafrul sebagai senator akan tamat pada Dis nanti. Tanpa sebarang kerusi sebagai ahli parlimen, bekas tokoh perbankan itu tidak lagi boleh terus menganggotai kabinet.

Pelantikan Khairy ke kabinet juga boleh berlaku tanpa melibatkan Umno kerana perdana menteri mempunyai kuasa untuk melantiknya sebagai senator bebas sekali gus layak menjadi menteri.

Selain Noraini dan Khairy, satu lagi nama yang disebut-sebut oleh sumber Umno sebagai calon pengganti Tengku Zafrul di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri ialah bekas menteri, Reezal Merican Naina Merican.

“Jika kita mencari seseorang untuk memimpin kementerian tersebut, Reezal mungkin sesuai.

“Beliau kini mengetuai Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), jadi beliau ada pengalaman,” kata seorang ahli Umno.

Reezal Merican Naina Merican

Matrade ialah agensi kerajaan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang ditugaskan untuk mempromosikan eksport Malaysia.

Reezal – yang juga ahli MKT Umno – dilantik sebagai pengerusi Matrade pada April 2023 untuk tempoh dua tahun dan kini dilanjutkan sehingga 2027.

Sama seperti Noraini, Adun Bertam di Pulau Pinang itu juga berpengalaman sebagai ahli kabinet apabila pernah dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari Ogos 2021 hingga Nov 2022 dalam kabinet Ismail Sabri.

Dia juga pernah menjadi Timbalan Menteri Luar Negeri dari 2015 hingga 2018 di bawah pentadbiran Najib Razak.

Sementara itu dalam reaksi kepada Malaysiakini, Reezal Merican dengan merendah diri menolak andaian tersebut atas beberapa sebab.

Antara lain, kata bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu, ialah kekalahannya dalam PRU lalu.

“Tak kot... Saya ahli parlimen yang kalah, kan>

“Ada ramai lagi (ahli parlimen) yang menang tu. Dalam hieraki parti pun, saya kalah dalam pemilihan naib presiden,” katanya.

Justeru, tambah Reezal Merican buat masa ini dia mahu melaksanakan amanah sedia ada yang diserahkan kepadanya.

“Buat masa ini saya amat bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan kepada saya terutamanya daripada menteri yang melanjutkan tempoh perkhidmatan saya di Matrade .

“Saya hanya berminat untuk melaksanakan amanah itu dengan bersungguh-sungguh,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen