malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penyeludupan hidupan liar di KLIA masih berterusan
ADS

Gelombang penyeludupan hidupan liar yang berterusan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah meningkatkan perhatian terhadap protokol keselamatan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Pihak berkuasa telah membuka 10 kertas siasatan berhubung pelbagai kes antara 2023 hingga April lalu.

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, kes-kes tersebut melibatkan penyeludupan spesies eksotik dan tempatan, termasuk kura-kura, ular, burung dan primat.

Kejadian terkini berlaku minggu lalu apabila pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Tiruchirappalli, Tamil Nadu, menemui dua biawak monitor dalam bagasi seorang penumpang.

Individu terbabit berlepas dari KLIA menaiki penerbangan Batik Air OD223.

Kejadian ini mencetuskan kemarahan dan persoalan dalam kalangan orang ramai yang mengkritik MAHB berikutan peningkatan kes penyeludupan hidupan liar keluar dari negara.

Pada Mac lalu Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengakui bahawa isu itu amat serius dan menuntut tindakan segera oleh pengendali lapangan terbang.

Loke meluahkan kehairanan bagaimana hidupan liar terbabit masih boleh dibawa masuk ke lapangan terbang Malaysia dan berlepas menggunakan penerbangan penumpang walaupun semua bagasi telah melalui pemeriksaan.

Dia berkata sistem pengendalian bagasi di KLIA sedang dinaik taraf, dan MAHB juga sedang meneliti untuk menaik taraf mesin X-ray mereka.

Bagasi daftar masuk berada di bawah tanggungjawab perkhidmatan pengendalian bagasi MAHB dan bukannya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini pada Isnin, MAHB menyatakan bahawa penyeludupan hidupan liar kekal sebagai isu global yang didorong oleh permintaan tinggi, dan menangani isu itu di hab pengangkutan hanyalah "sebahagian daripada penyelesaian yang lebih menyeluruh".

Katanya MAHB terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), serta agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab mencegah penyeludupan hidupan liar di Malaysia bagi memastikan kemudahan KLIA tidak dieksploitasi untuk aktiviti haram.

“Selain itu, kami mengekalkan kerjasama erat dengan rakan strategik lain termasuk KDRM, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), dan polis dalam penguatkuasaan undang-undang yang tegas bagi melindungi sempadan negara daripada perdagangan haram.

“Sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk menangani isu ini, MAHB menyumbangkan dua anjing pengesan K9 baka Belgian Malinois yang terlatih kepada Perhilitan pada 2024.

“Penggunaan mereka telah berjaya membantu beberapa operasi penguatkuasaan berimpak tinggi,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Perhilitan di KLIA berhubung kenyataan MAHB tersebut, namun belum menerima sebarang maklum balas setakat waktu berita ini ditulis.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen