malaysiakini logo
story-image
ADS

MCA menggesa kerajaan agar memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai ganti kepada cadangan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan meliputi lebih banyak produk dan perkhidmatan.

Gesaan ini selepas pengumuman Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan semalam bahawa kadar SST akan disemak semula kepada antara lima hingga 10 peratus untuk barangan tidak penting dan barangan premium bermula 1 Julai ini.

“Pendekatan kerajaan yang terus menerus memperluaskan jaringan SST tanpa menangani isu asas hanya akan menambah beban kepada perniagaan dan pengguna, tanpa menyelesaikan masalah utama iaitu asas cukai negara yang lemah.

“Daripada terus memperkenalkan cukai-cukai baru atau yang ‘diperkemas’, adalah lebih wajar untuk menilai semula pelaksanaan sistem GST yang adil, telus dan cekap,” kata Naib Presiden MCA, Lawrence Low pada satu kenyataan hari ini.

Dilaporkan buah-buahan import seperti epal juga akan dikenakan SST lima peratus kerana diklasifikasikan sebagai barangan tidak penting.

Selain itu, cukai enam peratus akan dikenakan ke atas pendidikan prasekolah, rendah dan menengah swasta yang mengenakan yuran tahunan melebihi RM60,000 bagi setiap pelajar.

Low berkata walaupun kadar SST baru dipersembahkan sebagai memberi pengecualian kepada “perkhidmatan asas” untuk mengurangkan beban rakyat namun hakikatnya tidak semestinya begitu.

Sebagai contoh, kata pemimpin MCA itu, sektor seperti pendidikan, transaksi kewangan, serta kecantikan dan penjagaan kesihatan turut dimasukkan dalam senarai bercukai walaupun sebenarnya ia penting untuk keluarga kelas pertengahan bandar.

“Sebagai contoh, perkhidmatan sewa premis bukan kediaman, rawatan kecantikan, pendidikan swasta dan perkhidmatan perubatan untuk ekspatriat mungkin kelihatan tidak penting pada pandangan pertama.

“Namun, perkhidmatan ini sebenarnya telah menjadi sebahagian penting dalam kehidupan harian keluarga kelas pertengahan bandar dan juga perniagaan kecil,” kata Low.

Dengan peningkatan kos yang akhirnya ditanggung oleh pengguna, Low berkata ia akan membawa kepada kesan rantaian inflasi.

Sebaliknya, dia berkata GST mempunyai liputan yang luas serta mekanisme rebat yang kukuh, sekali gus membantu mencegah berlakunya cukai berganda berbanding SST.

“Ia meningkatkan ketelusan dan membina kepercayaan terhadap sistem. Bagi perniagaan, kredit cukai input membantu mengurangkan tekanan kos.

“Bagi pengguna, tanda harga yang jelas dan jumlah cukai yang telus menjadikan sistem ini lebih mudah difahami dan diterima berbanding SST semasa, di mana kos sering disembunyikan dan disalurkan secara tidak jelas.

“Untuk negara, sistem GST menyokong pertumbuhan hasil jangka panjang,” kata Low.

“Kami tidak menentang reformasi cukai, tetapi ia mestilah berasaskan kepada pendekatan saintifik dan pragmatik. Dengan penyesuaian yang betul, khususnya terhadap sistem bayaran balik, GST boleh menjadi sistem cukai yang jauh lebih berkesan,” katanya lagi.

Cukai GST diperkenalkan Najib Razak menjadi perdana menteri pada tahun 2015, dengan matlamat untuk meningkatkan hasil cukai negara dan mengurangkan ketirisan.

Namun, ia dimansuhkan pada tahun 2018 semasa pemerintahan pertama PH yang diterajui oleh Dr Mahathir Mohamad.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen