Keluarga Chan Wey Han, yang mati akibat ditembak polis di Terengganu pada 16 Mac lalu, mengecam pihak berkuasa kerana didakwa menzalimi rakyat.
Abang kepada mangsa, Wey Chuan, meluahkan kekecewaan dengan mempersoalkan gaji polis yang dibayar menggunakan wang pembayar cukai, tetapi dilihat enggan bekerjasama dengan permintaan keluarga untuk mendapatkan penjelasan mengenai kematian Wey Han.

Selain mempertikaikan dakwaan polis bahawa adiknya adalah individu dikehendaki dan memandu kenderaan curi, Wey Chuan turut kesal apabila barangan peribadi si mati didapati hilang.
Barangan peribadi hilang
“Bagaimana rantai emas dan cincin emas yang dipakai oleh adik saya ketika ditembak polis sehingga kini tidak dipulangkan kepada kami?” soal Wey Chuan pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.
“Kami langsung tidak dibenarkan masuk ke lokasi kejadian, dan apabila kami akhirnya lihat mayatnya di Jabatan Forensik, terdapat anggota polis ditempatkan di sana... bagaimana barang kemas itu boleh hilang?
“Pihak yang terlibat (dalam kematian Wey Han dan kehilangan barangan peribadinya) telah melakukan jenayah dan ini amat memalukan.
“Polis dibayar oleh rakyat, tetapi mereka bersikap zalim terhadap kami,” tambahnya.

Wey Chuan turut mendakwa bahawa ketika adiknya ditangkap kali pertama pada Julai tahun lalu, dia mengalami kecederaan yang menyebabkan pendengarannya terjejas – yang dakwanya akibat perbuatan anggota polis.
“Kami berharap semua maklumat kes ini dapat didedahkan melalui saluran yang betul, seperti inkues, kerana kami bukan bersuara sesuka hati.
“Kami tahu bukan semua anggota polis bersalah dan kami yakin majoriti mereka mempunyai integriti, tetapi mengapa rakyat masih perlu menghadapi situasi seperti ini sedangkan gaji mereka dibayar melalui cukai kita?” keluhnya.
Balas tembakan
Terdahulu, dilaporkan bahawa sepasukan polis dari Bukit Aman mengesan Wey Han memandu sebuah Ford Ranger dalam keadaan mencurigakan di Kuala Besut.

Memetik sumber, Berita Harian – yang tidak menamakan si mati dalam laporannya – menyatakan bahawa apabila Wey Han diarahkan berhenti, dia telah melepaskan tembakan ke arah anggota polis, lalu menyebabkan pihak polis terpaksa membalas tembakan.
Dilaporkan juga bahawa hasil pemeriksaan dalam kenderaan berkenaan menemui sepucuk pistol berwarna perak bersama satu kelopak peluru di lantai bahagian pemandu.
Rekod jenayah
Mengulas dakwaan polis bahawa adiknya merupakan individu dikehendaki yang mempunyai rekod jenayah, Wey Chuan menegaskan bahawa si mati telah melaporkan diri di balai polis Jerteh setiap bulan, dan kali terakhir berbuat demikian adalah hanya empat hari sebelum kematiannya.
“Kalau dia benar-benar penjenayah dikehendaki, mengapa mereka (polis) tidak tangkap dia semasa dia sendiri datang ke balai? Kami juga tidak faham mengapa polis kata dia ada rekod jenayah, sedangkan dia tidak pernah dipenjarakan atas apa-apa kesalahan,” kata Wey Chuan.

Tambahnya, keluarga mereka dimaklumkan bahawa pemilik kereta yang dipandu oleh Wey Han ketika dia dibunuh tidak pernah membuat laporan kehilangan kenderaannya.
Kereta itu juga telah diletakkan di rumah teman wanitanya selama beberapa hari sebelum Wey Han mengambil keputusan untuk membawanya ke ladang keluarga mereka pada malam kejadian.
Akur kepada undang-undang
Wey Chuan turut menekankan bahawa walaupun adiknya pernah beberapa kali didenda oleh mahkamah kerana kesalahan berkaitan perjudian, Wey Han sentiasa akur kepada proses undang-undang dan melunaskan semua denda yang dikenakan.
“Saya selalu pesan pada adik saya (setiap kali dia ditangkap), tidak mengapa, kita ikut saja proses yang sepatutnya… tapi kenapa (proses undang-undang) hanya tertakluk kepada rakyat, sedangkan polis dibenarkan bertindak zalim walaupun mereka dipertanggungjawabkan untuk melindungi kita?” soalnya.
Dia turut mengulangi gesaan keluarga agar satu inkues diadakan bagi menyiasat kematian Wey Han, sambil memaklumkan bahawa peguam mereka telah menulis surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dua bulan lalu, namun masih tiada sebarang perkembangan positif setakat ini.
Turut hadir dalam sidang media hari ini ialah peguam keluarga, M Visvanathan, yang berkata bahawa surat kepada AGC berhubung prosiding inkues telah dihantar pada 15 April.

Walaupun satu jawapan ringkas diterima tiga hari kemudian, keluarga si mati belum menerima sebarang kemas kini lanjut daripada pihak polis mahupun AGC, kata peguam itu.
“Ketiadaan sebarang maklum balas daripada pihak berkuasa menunjukkan adanya masalah sistemik dalam pentadbiran keadilan… ini adalah isu yang tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan,” tambahnya.

