malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Syarikat teknologi UK digesa bina masa depan digital dinamik di M'sia
Diterbitkan:  Jun 11, 2025 9:29 AM
Dikemaskini: 1:29 AM
ADS

Malaysia menggesa syarikat teknologi dari United Kingdom (UK) berganding bahu bagi membina masa depan digital yang dinamik di negara ini.

Menteri Digital Gobind Singh Deo ketika berucap di Forum Gerbang Digital UK-Malaysia di London turut meletakkan Malaysia sebagai kuasa serantau untuk inovasi, pelaburan digital dan pembangunan teknologi yang mampan.

"Malaysia terbuka untuk inovasi. Visi kami berpaksikan kepada tiga pemangkin utama iaitu infrastruktur bertaraf dunia, tadbir urus data yang dipercayai dan kepercayaan institusi.

“Inilah asas yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama untuk pelaburan teknologi bernilai tinggi di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini.

Gobind berada di London bagi menghadiri London Tech Week yang turut menjadi platform bernilai untuk Malaysia mendapatkan pandangan serta menjalin kerjasama dalam bidang baru seperti tadbir urus kecerdasan buatan (AI), bandar pintar dan kelestarian digital.

Dalam forum tersebut, dia turut menekankan komitmen Malaysia untuk menjadi hab digital yang maju dan bersedia menghadapi masa depan yang terbuka kepada kerjasama antarabangsa serta bersedia untuk pertumbuhan bernilai tinggi dan mampan.

Ahli Parlimen Damansara itu turut menunjukkan trajektori pertumbuhan digital Malaysia yang kukuh dengan merujuk kepada angka pelaburan yang memberangsangkan bagi suku pertama 2025.

“Dalam tempoh ini, sebanyak 107 syarikat baru diluluskan di bawah rangka kerja Malaysia Digital dengan jumlah nilai pelaburan sebanyak RM13.1 bilion (£2.3 bilion).

“Pelaburan ini dijangka mewujudkan 4,199 peluang pekerjaan baru dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Gobind turut mengundang rakan-rakan dari UK untuk menyertai acara utama pada masa akan datang termasuk Sidang Kemuncak AI Asean Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada Ogos 2025 serta Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur pada Sept 2025.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen