Ketika tulisan ini digarap perang antara Rusia dan Ukraine makin merancak. Perang ini bermula pada 20 Februari 2014 ketika berlakunya rampasan kuasa di Ukraine. Kuasa baru di Kyiv ini mahu Ukraine menjadi ahli Nato. Dasar ini ditentang oleh Rusia.
Satu bulan kemudian Rusia mengambil kembali Pulau Crimea yang] asal usulnya bumi Rusia. Sebagai jawapan wilayah Donbas yang majoriti etnik Rusia dibantai oleh soldadu Ukraine. Etnik Rusia minta bantuan dari Putin. Rusia masuk membantu – perang pecah - hanya tamat dengan Perjanjian Minsk pada 5 September 2014.
Perjanjian Minsk ini gagal. Maka pada 22 Februari 2022 Putin melancarkan apa yang dipanggil Operasi Istimewa. Bala tentera Rusia masuk ke Ukraine untuk mengambil alih empat wilayah Donbas yang majoritinya etnik Rusia. Perang berterusan hingga hari ini.
Ketika tulisan ini digarap, Gaza, Palestin masih menjadi mangsa genosid Israel. Angka kematian melintasi 50,000. Gaza diserang oleh Israel berkali-kali. Semenjak Israel menjajah Palestin pada tahun 1948, Gaza terus menjadi mangsa. Pada tahun 2008, 2012, 2014 dan 2021, Gaza diserang Israel.
Pada 7 Oktober 2023 Al-Qassam Briged - gerila Hamas - memecah tembok dan kawat berduri dan masuk ke dalam wilayah Israel. Hamas mengambil 251 orang tawanan.
Sebagai balasan, Benjamin Netanyahu melancarkan Operation Gideon Chariots untuk menyerang Gaza atas dua tujuan induk. Pertama untuk menghapuskan dan memusnahkan Hamas yang berkuasa di Gaza lebih dari dua dekad. Kedua untuk membebaskan semua tawanan.
Hingga ke hari ini dua tujuan Netanyahu gagal.
Perang saudara sedang berjalan di Sudan. Pada 15 April 2023, berlaku pemberontakan. Askar kerajaan Sudan pecah dua. Perang saudara ini bukan saja menjemput beratus ribu kematian tetapi membawa kebuluran yang maha sangat.
Perang saudara di Sudan ini tidak mendapat liputan meluas seperti perang di Gaza atau di Ukraine. Tetapi kemusnahan dalam perang adalah sama.
Hakikatnya tiga tahun ini dunia berhadapan dengan perang. Jelas kelihatan di Ukraine, di Gaza dan di Sudan bahawa jalan damai masih jauh dan berliku. Percubaan untuk menjalin damai wujud tetapi semuanya gagal.
Warga dunia hari ini menerima hakikat bahawa perang dan bunuh-membunuh sebagai satu kebiasaan baru – the new normal. Bangunan runtuh, bom meledak, askar luka parah, mayat bergelimpangan dan politikus berlabun telah menjadi hiburan harian untuk kita semua.
Tak lagi terperanjat dengan perut terburai
Kita tidak lagi terperanjat melihat imej anak kecil perut terbarai atau ibu ayah meratapi mayat anak yang sedang berdarah terbujur. Berita angka kematian, berita pertempuran kini menjadi juadah berita harian kita. Kita tidak lagi terperanjat.
Apakah kita telah lali justeru kita menerima perang, pembunuhan, kehancuran atau genosid sebagai kebiasaan baru. Semua ini dianggap the new normal. Amin.
Saya tidak ingin dituduh sebagai pembawa berita buruk. Tetapi saya juga rasa terpanggil untuk memberi ingatan bahawa apa yang sedang berlaku hari ini – perang yang berterusan – akhirnya memungkinkan Perang Dunia Ketiga.
Bila saya menulis tentang kemungkinan Perang Dunia Ketiga saya selalu merujuk kepada Jam Kiamat – Doomsday Clock. Jam Kiamat ialah jam simbolik metafora yang dicipta oleh Buletin Saintis Atom pada tahun 1945. Sosok-sosok yang mencipta jam ini termasuklah Albert Einstein dan Robert Oppenheimer – pembuat Bom Atom.
Jam ini menggambarkan betapa dekatnya manusia dengan malapetaka global. Jika jam ini sampai ke detik tengah malam – ini menandakan hari kiamat. Jauh dan dekat umat manusia ke tengah malam mengikut Jam Kiamat ini berdasarkan tahap ancaman yang ditimbulkan oleh perang nuklear, perubahan iklim dan teknologi yang mengganggu.

Pada tahun 2024, umat manusia semakin hampir kepada malapetaka. Trend yang sangat membimbangkan. Lembaga Sains dan Keselamatan yang mengendalikan Jam Kiamat melihat terdapat tanda bahaya yang jelas, pemimpin negara dan masyarakat mereka telah gagal melakukan apa yang diperlukan untuk mengubah haluan.
Akibatnya, Lembaga Sains dan Keselamatan mengalihkan Jam Kiamat daripada 90 saat kepada 89 saat kepada tengah malam—yang paling hampir dengan malapetaka kiamat.
Ertinya umat manusia hanya ada 89 saat menuju hari kiamat. Ini terlalu hampir. Malah ada lagi yang menggerun dan menakutkan. Apa yang menakutkan telah berlaku pada 1 Jun 2025.
Pada hari itu Ukraine membuat serangan paling besar ke atas Rusia. Ukraine melancarkan 117 drone. Agensi Reuters mengutip kata-kata pegawai Amerika tentang hal ini. Malah Rusia juga mengakui serangan itu berlaku.
Ini bukan serangan biasa, mengikut kenyataan Presiden Volodymyr Zelensky sendiri. Operasi ini namanya Operation Spider’s Web. Operasi ini dirancang dengan teliti 18 bulan dahulu.
Drone ini dimasukkan ke dalam van dan diseludup ke wilayah Rusia. Pemandu-pemandu van ini diberi arahan untuk membawanya jauh ke dalam wilayah Rusia. Dengan teknologi yang ada, van-van ini diikuti melalui sistem GPS. Bila sampai ke satu ketika yang ditetapkan, atap van ini terbuka dan drone-drone keluar dan menuju sasaran.
Saya tak tahu, kata Trump
Drone ini telah jauh sekali ke dalam wilayah Rusia hingga sampai ke Timur Siberia – 4,300 kilometer dari Ukraine.
Apa yang memeranjatkan dunia ialah sasaran drone ini ialah lapangan terbang pesawat pengebom Rusia. Ini bukan lapangan terbang biasa. Ini bukan juga pesawat pengebom biasa. Ini adalah lapangan terbang untuk pesawat yang membawa senjata nuklear.
Dilaporkan berbelas-belas pesawat Rusia musnah. Kyiv mendabik dada mengakui kejayaan operasi ini. Kemusnahan hampir mencecah 20 bilion dolar.
Pihak berkuasa Ukraine mendakwa telah menyerang 41 pesawat, secara keseluruhan, termasuk pengebom Tu-95 Bear, Tu-22M Backfire, dan Tu-160 Blackjack.
Bila media bertanya kepada Donald Trump tentang serangan Ukraine ini, presiden Amerika berkata: “Saya tidak tahu”.
Kenyataan pendek dari Trump ini menimbulkan banyak persoalan. Operasi ini pastilah telah dirancang di zaman Joe Biden dan perdana menteri Rishi Sunak dari UK. Ini kerana operasi ini dirancang 18 bulan dahulu. Juga kenapa CIA dan lembaga risikan Amerika tidak memberitahu Presiden Trump. Apakah jika Trump diberitahu tentang operasi ini maka Trump akan membatalkannya?.
Semua ini menimbulkan persoalan tentang apa yang sedang berlaku dalam pentadbiran Trump. Malah ditimbulkan andaian bahawa Trump sengaja diketepikan. Kini CIA dan kaum Zionis sedang menerajui dasar Amerika. Amin.
Operasi Spider’s Web ini bukan operasi biasa. Sasarannya ialah lapangan terbang pesawat yang membawa bom nuklear. Pasti Rusia menganggap ini serangan latihan percubaan untuk memusnahkan persediaan senjata nuklear Rusia.
Juga bayangkan jika ketika drone ini menyerang lapangan terbang ini para soldadu dan pengawal di lapangan terbang itu tersilap baca – tersilap tafsir. Jika mereka merasa senjata nuklear mereka sedang diserang – ada kemungkinan Rusia akan membalas dengan ledakan bom nuklear.
Tarikh operasi ini juga diatur dan disusun dengan niat jahat. Serangan ini berlaku pada 1 Jun – esoknya 2 Jun pegawai Rusia dan Ukraine akan memulakan perbincangan mencari jalan damai di Istanbul.
Jelas kelihatan ada satu jalur pemikiran yang tidak mahu Perang Ukraine ditamatkan. Garis pemikiran ini mahu Rusia terus dibantai. Putin perlu dijatuhkan. Rusia wajib dipecah-pecahkan. Sekatan ekonomi wajib diperketat.
Kerjasama teruskan perang
Garis pemikiran ini wujud dalam pentadbiran Trump. Mereka sedia bekerjasama untuk meneruskan perang. Garis pemikiran ini amat kuat di Eropah. Emmanuel Macron dari Perancis, Keir Starmer dari UK dan Friedrich Merz dari Jerman, semuanya pengikut mazhab ini.
Trump di Amerika dibaca tidak begitu memusuhi Rusia dan Putin. Malah setelah serangan ini berlaku, Trump dan Putin bercakap melalui telefon. Trump hanya berkata: Rusia akan membalas serangan.
Ketika tulisan ini digarap, dunia masih menunggu apakah bentuk balasan Putin terhadap Operation Spider’s Web. Apa yang jelas saban hari soldadu Rusia makin mara ke hadapan. Kota, pekan dan bandar di Ukraine makin banyak musnah. Jumlah kematian terus bertambah.
Jika dalam masa Trump menjadi presiden Amerika jika Perang Ukraine dan Perang Gaza tidak tamat, maka inilah tanda-tanda bahawa kita sedang menuju ke Perang Dunia Ketiga. Perang saudara di Sudan itu hanya selingan.
Canselor Friedrich Merz dari Jerman akan menambah jumlah askar daripada 182,000 askar aktif semasa kepada seramai 240,000 menjelang 2031.
Jerman, UK dan Perancis bukan sahaja akan menambah bajet senjata malah akan memperkenalkan kembali sistem draf – 18 tahun jantan dan betina wajib jadi askar.
Paling meyakinkan saya bahawa Perang Dunia Ketiga sedang dirancang apabila pada 7 Jun 2025 akhbar The Guardian London melaporkan kerajaan Jerman sedang merangka rancangan untuk meluaskan rangkaian kubu dan tempat perlindungan kalis bom.
Jerman sedang bersedia menangkis serangan bom nuklear dari Rusia dalam tempoh empat tahun akan datang. Apakah kita semua tidak memahami tanda-tanda ini. Atau semua ini telah menjadi perkara biasa dan lupa akan Jam Kiamat yang makin dekat ke tengah malam. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

