Pemimpin pembangkang seharusnya menerima hakikat dan tidak mencipta pelbagai alasan untuk menidakkan pelbagai perubahan positif dan kebaikan yang sedang dilakukan kerajaan ketika ini, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.
Kamil menolak dakwaan pihak tertentu yang mengatakan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kuat kerana pembangkang lemah.
Sebaliknya dia berkata Kerajaan Madani hari ini kuat disebabkan kerja kuat Perdana Menteri bersama-sama barisan Kabinet, ditambah dengan komposisi parti berbilang kaum yang unik demi memastikan keadaan negara lebih baik pada masa depan.
"Kerajaan ketika ini telah merencanakan pelbagai inisiatif dan strategi termasuk program untuk dijadikan asas yang kukuh dalam usaha meningkatkan semula taraf ekonomi negara dan rakyat.
"Kita tidaklah mengatakan semuanya sempurna, namun kerajaan berusaha memperkenalkan setiap dasar yang jelas untuk meningkatkan keselesaan rakyat dalam pelbagai aspek antaranya kualiti pendidikan, kesihatan dan bantuan terus kepada rakyat secara adil," katanya.
Kamil berkata demikian ketika ditemui Bernama pada Program Korban Perdana Madani dan Kenduri Rakyat Parlimen Padang Rengas di Dewan Terbuka Masjid Al-Taufiqiyah Chuar Kati dekat Padang Rengas, hari ini.
Sementara itu Kamil berkata Anwar dan barisan Kabinet sangat komited dalam usaha meningkatkan prestasi ekonomi negara dan pada masa sama mengekalkan kestabilan politik negara.
"Indikatornya kita boleh lihat hari ini seperti pertumbuhan ekonomi, kadar pengangguran, tahap kemiskinan, inflasi, perdagangan dan pelaburan serta kedudukan fiskal negara.
"Kadar pengangguran stabil dengan kadar kemiskinan, inflasi telah pun menurun. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta jumlah perdagangan pula semakin berkembang, menunjukkan negara kita kini berada di landasan yang baik," katanya.
Katanya lagi, pencapaian itu membuktikan keberkesanan dasar ekonomi dan juga tadbir urus Kerajaan Madani dalam memastikan pembangunan inklusif dan berdaya tahan.
-Bernama

