malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zafrul: Cetus PRK tanpa keperluan mendesak bazir masa, duit rakyat
Diterbitkan:  Jun 9, 2025 5:24 PM
Dikemaskini: 9:24 AM
ADS

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz tampil menafikan spekulasi yang mengatakan dia akan menyertai pilihan raya kecil (PRK) selepas meninggalkan Umno dan memohon menyertai PKR hujung bulan lalu.

Zafrul berkata tiada sebarang perbincangan tentang perkara seumpama itu pernah berlaku, dan ia bukan sebahagian daripada pertimbangannya ketika membuat keputusan meninggalkan Umno.

"Saya sememangnya tidak bersetuju dengan konsep pencetusan PRK tanpa keperluan yang mendesak, kerana PRK juga melibatkan masa dan duit rakyat," katanya dalam kenyataan media hari ini, selepas selesai menunaikan ibadah haji dengan isterinya.

Zafrul berkata dia akan terus menunaikan tugas sebagai ahli Dewan Negara sehingga tamat penggal pada Disember tahun ini.

"Berkenaan kedudukan saya sebagai seorang menteri, saya menyerahkan sepenuhnya isu ini kepada budi bicara perdana menteri.

"Saya sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti. Saya meninggalkan dunia korporat kerana niat untuk berkhidmat, dan selagi khidmat saya diperlukan, saya bersedia untuk terus menyumbang tanpa perlu kepada jawatan," tambahnya.

Dua berkata keputusannya untuk meninggalkan Umno adalah sepenuhnya pilihan peribadinya, dan tidak dibuat di bawah sebarang tekanan.

Dia turut melahirkan rasa terima kasih kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, majlis tertinggi parti, dan ahli akar umbi - terutama mereka dari bahagian Kota Raja - atas sokongan sepanjang memegang jawatan dalam parti.

Pada 30 Mei lalu, Zafrul mengumumkan telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Umno dan memutuskan untuk menyertai PKR.

Ini mencetuskan semula spekulasi bahawa Zafrul mungkin bertanding di kerusi DUN di Selangor dan akhirnya dilantik sebagai menteri besar.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menafikan kerusi Sungai Tua - yang dimenanginya pada pilihan raya negeri 2023 - akan dikosongkan.

Amirudin juga telah menolak spekulasi bahawa dia akan berundur daripada jawatan menteri besar untuk memberi laluan kepada Zafrul.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen