Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mengucapkan tahniah kepada Ketua Umno Sungai Besar, Jamal Md Yunos, yang mengumumkan dirinya kini bebas kanser — namun pada masa sama mengingatkannya supaya melunaskan bayaran kepada peguamnya seperti diperintahkan mahkamah.
“Tahniah,” tulis Kok ringkas dalam satu hantaran di Facebook, merujuk kepada laporan media yang memetik Jamal sebagai berkata rawatan intensif yang dijalaninya telah berjaya menghapuskan kanser dalam badannya.
“Sekarang masa untuk Jamal bayar peguam saya seperti yang diperintahkan mahkamah,” tambahnya.
Pada Oktober tahun lalu, Kok memperoleh perintah mahkamah untuk menyita dan melelong barangan dalam rumah Jamal selepas dia gagal melunaskan RM50,000 sebagai kos guaman yang diperintahkan mahkamah, susulan kekalahannya dalam saman fitnah bernilai RM300,000.
Kok dianugerahkan pampasan RM300,000 pada 2023 selepas pertarungan tujuh tahun di mahkamah dengan bekas pemimpin gerakan "baju merah" itu.
Saman itu difailkan pada 2017 berikutan kenyataan Jamal yang mendakwa Kok menyeleweng dana Yayasan Warisan Anak Selangor di bawah inisiatif Skim Mesra Usia Emas kerajaan negeri ketika itu.
Kok dalam pernyataan tuntutan mendakwa kenyataan Jamal membawa maksud dirinya telah menyalahgunakan dana awam dan bertindak secara tidak beretika.
Pada Mac lalu, kesihatan Jamal dilaporkan merosot selepas doktor mengesan sel kanser merebak ke otaknya.
“Selepas bertarung dengan kanser tahap akhir selama empat hingga lima bulan, pakar akhirnya mengesahkan bahawa sel kanser sudah tiada dalam tubuh saya,” kata Jamal dalam kenyataan hari ini.

