Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menjelaskan bahawa jawatankuasa khas bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) adalah badan sementara yang ditubuhkan semata-mata untuk menjalankan tugas yang diarahkan mahkamah, termasuk menjalankan pemilihan semula bagi pemegang jawatannya.
Ini berikutan kontroversi mengenai pengecualian MTUC daripada menghantar wakil pekerja ke Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) di Geneva.
Dalam satu kenyataan, ROS berkata jawatankuasa itu ditubuhkan berdasarkan keputusan mahkamah pada Februari dan Mei yang mengarahkan MTUC mengadakan mesyuarat perwakilan khas untuk memilih pemimpin utamanya.
"Berdasarkan kedua-dua Perintah Mahkamah tersebut, pembentukan JBK (jawatankuasa bersama khas) tersebut adalah bersifat sementara dan peranannya adalah tertakluk kepada tugas-tugas yang telah ditetapkan dalam Perintah Mahkamah terutamanya untuk membuat pemilihan kepimpinan utama MTUC.
"JBK tersebut juga akan terbubar secara automatik setelah mesyuarat perwakilan khas dilaksanakan.
"Dalam hal ini, memandangkan perkara ini melibatkan proses mahkamah, ROS tidak terlibat dengan pihak-pihak dalam kes mahkamah berkenaan dan menunggu keputusan pilihan raya pada mesyuarat perwakilan khas tersebut yang dijadualkan akan dijalankan pada 2 dan 3 Ogos 2025," katanya.
Jawatankuasa bersama itu mendapat kecaman selepas bertelagah dengan Kementerian Sumber Manusia berhubung pengecualian MTUC daripada ILC.

Pengerusi jawatankuasa itu, J Solomon menuduh kementerian melanggar perlembagaan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dengan didakwa menghalang pekerja daripada diwakili di forum itu.
Bagaimanapun, kementerian menegaskan jawatankuasa khas itu tidak mempunyai mandat untuk melantik perwakilan atau membuat keputusan dasar bagi pihak MTUC.
MTUC telah terheret dalam pertikaian kepimpinan dalaman yang berpanjangan, yang membawa kepada mesyuarat kontroversi pada Januari di mana ia mengumumkan penyingkiran presiden Effendy Abdul Ghani.
Effendy telah mempertikaikan tindakan itu, menggelar mesyuarat 18 Jan itu sebagai haram dan menegaskan dia kekal sebagai presiden MTUC.
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) juga telah mengecam jawatankuasa itu kerana mengeluarkan kenyataan awam menggunakan nama MTUC, dengan mengatakan ia menimbulkan kekeliruan dan mencemarkan imej negara.
Setiausaha Agung Cuepacs Abdul Rahman Nordin berkata jawatankuasa itu hanya ditugaskan untuk mengadakan pemilihan semula dan tidak mempunyai kuasa untuk mewakili kongres atau bercakap bagi pihaknya.
Abdul Rahman berkata Cuepacs, sebagai sebuah badan yang mempunyai bilangan wakil terbesar dalam MTUC, turut mempertikai kelewatan jawatankuasa itu mengadakan pemilihan semula, yang katanya menyebabkan pekerja Malaysia tidak diwakili di ILC buat kali pertama dalam sejarah.

