WAWANCARA l Pemimpin kanan PAS mengakui ada kebenaran di sebalik pendapat yang mengatakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kuat kerana pembangkang lemah.
Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah juga bersetuju bahawa wakil-wakil rakyat PN perlu lebih agresif dan menonjol dalam pelbagai isu semasa.
Katanya, walaupun rata-rata wakil rakyat PN sudah bagus dalam konteks penglibatan dalam sidang dewan undangan negeri (DUN) atau Dewan Rakyat, namun prestasi mereka perlu ditingkatkan lagi.
"Macam sekarang saya sendiri terima rungutan, orang kata duduk buat apa wakil rakyat ketika isu banyak tapi berdiam diri. Walaupun wakil rakyat dah bercakap di parlimen, tetapi tak sampai kepada mereka (rakyat), jadi mereka rasa wakil rakyat tak buat kerja, itu antara masalahnya.

"Pandangan orang luar pun begitu, pengkaji-pengkaji pun ada kata bahawa Anwar bertuah (kuat) kerana pembangkang lemah. Bagi saya ada kebenaran dalam kenyataan itu, walaupun tidak 100 peratus," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini, minggu lalu.
Speaker DUN Kelantan itu berkata, situasi semasa menyaksikan rakyat mahukan prestasi yang lebih daripada wakil-wakil rakyat PN termasuk menggunakan media-media sosial dengan optimun.
Menurutnya, jika dibandingkan semasa PH menjadi pembangkang mereka lebih agresif sehingga menarik perhatian yang meluas.
"Secara umum kalau kita ambil dalam konteks DUN dan Parlimen memang bagus, PN ini alhamdulillah perform bagus. Cuma bagi saya kena upgrade lagi. Sebab rakyat di luar mengharapkan lebih lagi. Saya dengar komen-komen dari luar ini, mereka nak lebih lagi.
"Yang dalam dewan mereka tak tahu, akhbar tak keluar apa yang kita cakap dalam dewan, ada hansard saja. Orang di luar tak tahu apa kita buat dalam dewan, bagi saya wakil-wakil rakyat PN khususnya ahli parlimen kena perform lebih lagi. Penonjolan dalam bentuk suara, kenyataan akhbar, atau ceramah-ceramah.
"Kalau dibandingkan semasa PH jadi pembangkang, gila-gila mereka buat kerja sampai berguling, tidur atas jalan. Bukan kita nak suruh buat macam tu juga, saya pun tak setuju jenis berguling atas jalan raya, mengarut saja. Tetapi kesungguhan itu sehingga orang nampak, benda tak ada apa pun, tapi orang nampak serius," jelasnya.

PAS, tambah Mohd Amar pada program pemukiman wakil-wakil rakyat baru-baru ini turut memberi penekanan terhadap aspek berkenaan supaya ditambahbaik dan lebih berkesan.
PAS dan perjuangan Melayu
Sementara itu ditanya mengenai fokus PAS yang dilihat lebih ke depan mebabitkan isu-isu Melayu berbanding Islam, Mohd Amar menegaskan dasar perjuangan parti itu tidak pernah berubah sejak dulu.
Namun katanya, penekanan lebih diberikan terhadap sesuatu perkara bergantung pada situasi dan keperluan semasa.
"Sebagai contoh pada peringkat awal, PAS bercakap mengenai kemerdekaan sebab masa itu negara belum merdeka. Tapi selepas merdeka isu yang PAS bawa dah lain.
"Selesai bab merdeka, keluar perjuangan Melayu, di mana kedudukan Melayu yang beragama Islam. Jadi apabila naik kerajaan Melayu, maka timbul isu Islam pula.

"Ia bergantung pada situasi semasa, isu kemerdekaan, Melayu, Islam asalnya semua dalam perkiraan dan fokus kita belaka. Kalau orang tak faham, mereka akan kata kita lari daripada perjuangan, sebenanrnya tidak. Dulu pun kita bercakap soal Melayu dah, perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air," katanya lagi.
Tegas Adun Panchor itu, kini PAS memberi memberi fokus terhadap isu kepentingan dan masa depan orang Melayu kerana Melayu dan Islan adalah identiti.
"Dalam perlembagaan jelas Melayu ini beragama Islam, lepas itu cakap Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu. Melayu dan Islam ini sebenarnya satu. Bagi kita apabila bercakap tentang Melayu sebenarnya kita bercakap tentang Islam, automatik, cuma perkataan saja lain," kata Mohd Amar.
Tambah bekas timbalan menteri besar Kelantan itu, PAS menyentuh isu Melayu disebabkan masalah-masalah yang timbul mutakhirnya ini.
"Kita bercakap mengenai Melayu sebab masalah Melayu itu, orang melayu yang lupa tentang dirinya, tak sedar dia Islam, bumi ini bumi Melayu, sebab itu kita beri tumpuan ke arah itu sedikit.
"Macam kita kalau musim durian, bercakap bab durian, musim dokong cakap bab dokong, tapi kita makan belaka, tapi musim (berbeza)," ujar Mohd Amar.

