malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP Raub: 37 peratus belia tak hadir PLKN, kenapa?
ADS

Program Khidmat Negara perlu menawarkan manfaat yang jelas kepada para pesertanya, kata Ahli Parlimen DAP, Chow Yu Hui.

Ahli Parlimen Raub itu berkata manfaat tersebut boleh merangkumi sijil, biasiswa atau peluang pekerjaan agar golongan belia melihat kelebihan untuk menyertainya.

“Ramai belia tidak berminat dengan Khidmat Negara kerana ia mengganggu kehidupan mereka dan tidak menawarkan faedah nyata kepada masa depan mereka.

“Untuk menarik minat mereka, kita mesti memperbaharui dan mereka bentuk semula program ini – menjadikannya lebih relevan dengan kehendak belia hari ini: kemahiran sebenar, sokongan kerjaya dan pengalaman yang bermakna,” katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari mendedahkan 37 peratus peserta Khidmat Negara 3.0 tidak hadir dalam sesi Mei-Jun, dengan alasan masalah kesihatan dan komitmen kerja sebagai sebab ketidakhadiran.

Di bawah Akta Latihan Khidmat Negara, mereka yang gagal melapor diri boleh dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib dan berdepan hukuman khidmat masyarakat.

Namun begitu, Adly berkata Kementerian Pertahanan akan menjalankan siasatan menyeluruh sebelum mengambil sebarang tindakan.

Pengambilan sesi Mei-Jun merupakan sesi kedua bagi pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang diperkenalkan semula awal tahun ini.

Mengulas lanjut, Chow turut membangkitkan isu sumber semangat patriotisme.

“Kita perlu sedar semangat cintakan tanah air tidak lahir hanya daripada memakai seragam atau menyertai kem latihan.

“Ia datang apabila seseorang rasa dirinya dilayan secara adil sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama,” katanya.

Dia turut memetik isu kuota dalam sistem pendidikan, mendakwa universiti tempatan lebih mengutamakan lulusan matrikulasi berbanding lepasab STPM.

“Apabila belia merasa terpinggir atau tidak dilayan dengan adil, bagaimana kita mahu mereka cintakan negara?

“Jika Malaysia mahukan belia yang patriotik, maka Malaysia perlu terlebih dahulu menunjukkan ia menyayangi semua rakyatnya secara saksama,” katanya lagi.

Selain itu, Chow menyifatkan PLKN sebagai satu “program yang dipersoalkan” dan mencadangkan agar peruntukan kewangan digunakan ke sektor yang memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat seperti pendidikan, kesihatan dan kebajikan sosial.

Dia turut merujuk sejarah program itu yang pernah dihentikan sebelum ini atas sebab pencapaian yang lemah malah melibatkan kematian peserta.

“Sekarang ia diperkenalkan semula, dengan perubahan yang sangat sedikit – dan ini membimbangkan.

“Kita tidak seharusnya mengulangi program yang telah gagal semata-mata untuk menunjukkan kita sedang ‘buat sesuatu’,” katanya.

Chow turut menyatakan program tersebut sepatutnya bersifat sukarela dan bukan mandatori agar ia disasarkan kepada mereka yang benar-benar berminat.

Tahun lalu, Chow pernah menegaskan perbelanjaan RM50 juta untuk Program Khidmat Negara 3.0 bukanlah keputusan yang bijak dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

Sebaliknya, dia menyeru agar dasar yang adil dan saksama dilaksanakan kepada semua rakyat Malaysia, kerana menurutnya itu kaedah lebih berkesan untuk memupuk semangat cintakan tanah air.

Terdahulu pada Januari, seramai 116 peserta menyertai fasa perintis program tersebut.

Setiap sesi dijadualkan berlangsung selama 45 hari, dengan kurikulum yang terdiri daripada 70 peratus latihan ketenteraan asas dan 30 peratus komponen pembinaan negara merangkumi pembangunan fizikal, mental dan sivik.

PLKN pertama kali diperkenalkan pada tahun 2004, melibatkan belia yang dipilih secara rawak untuk menjalani program selama tiga bulan selepas tamat persekolahan menengah.

Program itu digantung oleh perdana menteri ketika itu, Najib Razak pada 2015, dengan alasan ia akan menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM400 juta setahun.

Ia dimulakan semula pada tahun berikutnya namun akhirnya dimansuhkan pada 2018 oleh menteri belia dan sukan ketika itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen