malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu tong LPG: Armizan perli Wee jangan cepat 'koyak'
Diterbitkan:  Jun 8, 2025 8:51 PM
Dikemaskini: 1:09 PM
ADS

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali menasihatkan Presiden MCA Wee Ka Siong "jangan cepat koyak" dalam menegaskan bantahannya terhadap Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 kerana ia empat tahun terlalu lewat.

Menurut Armizan, jika Wee benar-benar menemui wataknya sebagai "jurucakap rakyat" pada tahun 2021, dia sudah pun membantah pindaan peraturan tersebut ketika itu, bukan hanya sekarang.

Armizan menyindir pendirian terbaru Wee mengenai persoalan jika peniaga kecil dalam sektor makanan dan minuman dibenarkan menggunakan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi tanpa permit.

"Saya fikir perlu ucapkan tahniah kepada Presiden MCA sebab dalam 'posisi' sekarang beliau lebih cakna sebagai 'jurucakap rakyat' berbanding dulu.



"Saya fikir kiranya aura 'jurucakap rakyat' itu muncul lebih awal ketika beliau menjadi menteri, beliau dan partinya pasti akan membuat bantahan lebih awal pada tahun 2021 dan bukannya tahun 2025.

"Ini kerana pada tahun 2021, KPDNHEP (masa itu) telah menggubal PPKB (Pindaan) 2021, menguat kuasakannya pada 15 Oktober 2021 dan sekali gus diwartakan sebagai Warta Kerajaan Persekutuan yang boleh diakses oleh awam.

"Saya tidak kisah presiden MCA tuduh saya bohong. Orang politik jangan cepat koyak. Cuma saya merayu janganlah kelirukan rakyat dengan rujukan kepada undang-undang yang saya tidak sebut,” kata Armizan.

Terdahulu, Wee memuat naik hantaran di Facebook bagi menunjukkan bukti pindaan peraturan yang dibentangkan pada tahun 2021 tidak menyatakan keperluan mendapatkan permit untuk menggunakan lebih daripada tiga tong LPG bersubsidi.

“Ini jelas membuktikan bahawa saya tidak terlibat dalam meluluskan PPKB (Pindaan) 2021, dan kerajaan mempunyai budi bicara untuk memutuskan sama ada untuk menguatkuasakan dasar tersebut atau tidak,” kata presiden MCA itu.

Sebelum ini, MCA mendakwa parti itu berjaya mempengaruhi pengumuman Armizan bahawa tong LPG bersubsidi boleh terus digunakan oleh peniaga mikro dan kecil dalam industri makanan dan minuman sehingga pindaan Peraturan Kawalan Bekalan 2021 dimuktamadkan pada Oktober nanti.

Mengulas lanjut, Armizan berkata Wee sebenarnya merujuk kepada undang-undang yang berbeza – iaitu Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2022.

“Memang tidak jumpa peruntukan undang-undang yang saya maksudkan sebab saya sebut A, beliau rujuk Z,” tambah Armizan lagi.

Dia juga menasihati Wee agar tidak mengelirukan orang ramai dengan undang-undang yang tidak pernah dibangkitkan.

Armizan mengakui Wee mungkin lebih berpengalaman dalam politik namun ahli parlimen Papar itu menegaskan dia akan terus berpegang kepada sumber perundangan sedia ada agar tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

“Menuduh saya memetik punca kuasa perundangan yang tidak wujud bukan cerminan kepada saratnya pengalaman dan kebijaksanaan Presiden MCA yang sempat saya kenali dahulu,” katanya.

Pertikaman lidah antara Wee dan Armizan berlarutan sejak beberapa hari lalu, dengan Wee menyoal mengapa premis makanan diarahkan menggunakan tong gas komersial dan bukan tong LPG bersubsidi yang lazimnya digunakan oleh isi rumah.

Wee juga membangkitkan persoalan mengenai keperluan peniaga mendapatkan permit sekiranya mereka menggunakan lebih daripada tiga tong gas sebulan.

Armizan membalas dengan berkata peraturan tersebut berasal dari kerajaan terdahulu, yang turut disertai oleh Wee.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen