Aktivis dan artis Fahmi Reza menyatakan hasrat untuk menyaman kerajaan selepas dia dihalang daripada meninggalkan negara semalam.
Menurutnya, maklum balas daripada Pejabat Perdana Menteri Anwar Ibrahim, serta Ketua Polis Negara Razarudin Husain, hanya menuding jari antara satu sama lain tanpa sesiapa pun mengambil tanggungjawab.
“Aku tak nampak mana-mana pihak kerajaan yang berani ambil tanggung jawab atas kesilapan korang yang menyebabkan hak kebebasan bergerak aku disekat.
"Korang senang je cakap “tiada sekatan rasmi”. Tapi realitinya, aku tetap kena sekat semalam. Aku tetap tak dapat ke luar negara. Aku tetap dinafikan hak aku sebagai rakyat.

"Aku hanya rakyat biasa. Korang dah sekat, susahkan, dan rugikan masa dan duit aku, tapi kemudian cuci tangan, tak nak mengaku salah.
"Kalau rakyat buat salah, korang tak tunggu lama untuk heret kami ke mahkamah.
"Kali ni, giliran rakyat pula untuk heret pihak berkuasa ke mahkamah,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pagi tadi mengarahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberi penjelasan dan menyemak tindakan melarang aktivis seni Fahmi Reza daripada meninggalkan negara.

Menurut kenyataan ringkas Pejabat Perdana Menteri hari ini, isu itu menimbulkan persoalan serius tentang kebebasan individu di bawah kerajaan Madani.
Razarudin pula menjelaskan bahawa aktivis dan artis grafik Fahmi Reza sebenarnya tidak disekat daripada meninggalkan negara — sebaliknya hanya diletakkan dalam "senarai pemantauan" Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Razarudin, Fahmi tidak tertakluk kepada sekatan rasmi perjalanan, sebaliknya namanya dimasukkan dalam senarai pemantauan PDRM kerana masih terlibat dalam siasatan.
Bagaimanapun, Fahmi menegaskan sudah tiba masanya untuk dia menunjukkan kerajaan tidak kebal.

"Rakyat tak patut takut pada kerajaan, kerajaan yang patut takut pada rakyat.
"Korang selalu suruh aku “gunakan saluran yang betul”, kan?
"Okay, kita jumpa di mahkamah," katanya lagi.

Semalam, Fahmi mendapati dirinya telah disenarai hitam untuk ke luar negara ketika cuba menaiki penerbangan ke Singapura untuk menghadiri konsert dua kumpulan punk kegemarannya.
Menurutnya, seorang pegawai imigresen di lapangan terbang memberitahu bahawa Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tidak memberikan kebenaran untuk dia meninggalkan negara.
Apabila dia bertanya mengapa, pegawai tersebut menyuruhnya bertanya terus kepada Bukit Aman.
Minggu lalu, dia telah dinafikan masuk ke Sabah dan dihantar pulang sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Fahmi telah diberikan notis penolakan masuk sejurus ketibaan dan mendakwa arahan itu datang daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah.

