malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Loke puji kru AirAsia kendali penerbangan cemas
Diterbitkan:  Jun 8, 2025 11:34 AM
Dikemaskini: 3:34 AM
ADS

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memuji profesionalisme kru penerbangan AirAsia AK6047 selepas penerbangan domestik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur malam tadi bertukar menjadi pengalaman mencabar selama hampir empat jam.

Dalam satu hantaran di Facebook, Loke memaklumkan pesawat yang sepatutnya hanya mengambil masa 50 minit itu terpaksa berpusing di ruang udara KLIA sebelum dilencongkan ke Pulau Pinang akibat ribut petir dan angin lintang kuat ketika cuba mendarat.

“Ketika menghampiri landasan, pesawat terpaksa membatalkan pendaratan kerana cuaca ekstrem. Juruterbang kemudian mengambil keputusan untuk mengisi minyak di Pulau Pinang sebelum kembali ke KLIA apabila keadaan cuaca kembali stabil,” katanya.

Loke yang dalam penerbangan pulang selepas menghadiri majlis DAP Johor itu turut berkongsi bahawa sekurang-kurangnya lima penerbangan AirAsia lain turut terpaksa dilencongkan malam semalam, menjadikan insiden ini bukan terpencil.

Kapten tenang, kru tetap senyum

Dia menyifatkan tindakan Kapten Teng Huah Jer dan pembantu pertamanya, Bryan Alexander Yin Kian Yam, sebagai cerminan profesionalisme tinggi. Katanya, komunikasi jelas dan tenang daripada kokpit memainkan peranan penting menenangkan penumpang dalam keadaan yang mencemaskan.

“Maklumat diberikan secara konsisten. Ini penting untuk elak panik,” katanya.

Menteri itu turut menzahirkan penghargaan kepada kru kabin yang diketuai Muhammad Asyraf Muhammad Nasrullah bersama tiga yang lain — Mandasari Nikita Florensia, Bagus Setyadi Nugroho dan Norjuniza Muhammad — atas sikap empati dan ketenangan mereka.

“Mereka bekerja lebih masa, tetap senyum, tetap minta maaf. Itu bukan sesuatu yang mudah,” kata Loke.

Wira tak didendang

Dalam pada itu, dia turut memberi penghormatan kepada petugas darat dan pengawal trafik udara yang berjaya mengatur koordinasi dari Senai ke Pulau Pinang hingga ke KLIA.

“Mereka inilah wira tak didendang yang memastikan operasi berjalan lancar di sebalik segala kesulitan,” katanya.

Pesawat akhirnya selamat mendarat di KLIA pada jam 2.40 pagi — hampir empat jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Sebagai tanda solidariti, Loke berkata beliau tidak keluar dari pesawat sehingga semua penumpang selesai turun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen