malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Umno Sabah: Hajiji mesti nilai semula menteri dikaitkan rasuah
Diterbitkan:  Jun 7, 2025 10:46 AM
Dikemaskini: 6:57 AM
ADS

Umno Sabah hari ini menggesa Ketua Menteri Hajiji Noor mempertimbangkan untuk menilai semula menilai semula kedudukan mana-mana anggota pentadbiran yang terpalit dalam skandal rasuah lesen perlombongan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Komunikasi Strategik Umno Sabah Datu Rosman Datu Ahir Zaman berkata Hajiji sedang menghadapi "krisis kepercayaan" sementara rakyat pula sedang mengalami krisis kepercayaan dan keraguan terhadap kredibiliti kerajaan negeri.

Datu Rosman Datu Ahir Zaman

“Laporan media mengenai penyerahan kertas siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Pejabat Peguam Negara berhubung skandal perlombongan di Sabah adalah bukti jelas bahawa pentadbiran Kerajaan Sabah di bawah pimpinan ketua menteri kini terbeban dengan dakwaan serius yang mencemarkan integriti pentadbiran negeri,” kata Datu Rosman.

Dia juga kesal kerana skandal itu, yang didakwa melibatkan beberapa ahli dewan undangan negeri (Adun) dari blok kerajaan, bukan sahaja mengaibkan institusi kerajaan, malah mencerminkan kegagalan ketua menteri dalam menegakkan tadbir urus yang bersih dan telus dalam pentadbiran Sabah Maju Jaya.

“Ketua Menteri tidak boleh terus cuci tangan. Beliau harus mengambil tanggungjawab penuh terhadap kerosakan integriti yang berlaku dalam kalangan menteri-menteri kabinetnya.

“Ketua Menteri perlu mempertimbangkan untuk menilai semula kedudukan mereka yang terlibat untuk memulihkan keyakinan terhadap institus kerajaan negeri,” kata Datu Rosman.

Azam Baki

Tambahnya, walaupun Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki telah menyatakan bahawa video berkaitan skandal itu disunting secara berlebihan, namun kertas siasatan yang lengkap serta kemungkinan beberapa individu akan didakwa menunjukkan wujudnya asas kukuh terhadap dakwaan rasuah dan salah guna kuasa berkaitan penerokaan mineral di negeri itu.

Azam semalam mengesahkan SPRM telah melengkapkan kertas siasatan berhubung skandal rasuah Sabah.

Dia memberitahu bahawa ada kemungkinan pendakwaan akan dilakukan terhadap beberapa individu dalam tempoh terdekat.

Dalam laporan semalam, Bernama memetik sumber yang memaklumkan bahawa kertas siasatan telah dihantar kepada pihak pendakwaan untuk diteliti, dua minggu lepas.

Pada 29 April lalu, Azam berkata analisis forensik 10 klip video yang membabitkan Hajiji dan beberapa Adun yang diserahkan kepada suruhanjaya itu pada 11 Mac akan selesai pada minggu berikutnya.

Gesaan Umno Sabah itu hadir ketika tekanan terhadap kerajaan negeri semakin memuncak, susulan pendedahan seorang pemberi maklumat dikenali sebagai “Albert” yang menyerahkan ratusan muka surat bukti kepada SPRM.

Beberapa pihak, termasuk Persatuan Pengusaha Perlombongan Sabah, turut menggesa agar pemberi maklumat itu dilindungi, memandangkan dakwaan skandal tersebut melibatkan tokoh politik kanan dan potensi ancaman terhadap keselamatannya.

Umno Sabah turut menekankan bahawa hanya dengan ketelusan dan akauntabiliti sepenuhnya, kepercayaan rakyat terhadap institusi negeri dapat dipulihkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen