malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Trump dakwa Elon Musk tiba-tiba jadi 'gila'
Diterbitkan:  Jun 6, 2025 1:15 PM
Dikemaskini: 5:37 AM
ADS

GLOBAL | Presiden Donald Trump pada Khamis mengancam untuk menamatkan kontrak kerajaan dengan syarikat-syarikat milik bilionair Elon Musk manakala Musk pula mencadangkan Trump sepatutnya dipecat, lapor Reuters.

Ketegangan bermula apabila Trump mengkritik Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, di Pejabat Oval.

Dalam masa beberapa jam, hubungan mereka yang dahulunya akrab runtuh sepenuhnya di hadapan umum, apabila dua tokoh paling berkuasa dan paling kaya di dunia ini saling melontar sindiran peribadi di platform Truth Social milik Trump dan platform X milik Musk.

"Cara paling mudah untuk menjimatkan wang dalam Bajet kita, berbilion-bilion dolar, adalah dengan menamatkan subsidi dan kontrak kerajaan kepada Elon."

Pelabur di Wall Street mula menjual saham Tesla dan saham syarikat itu ditutup merosot 14.3 peratus, menyebabkan kehilangan nilai pasaran sekitar AS$150 bilion – kejatuhan harian terbesar dalam sejarah Tesla, kata Reuters.

Beberapa minit selepas pasaran saham ditutup, Musk membalas dengan satu perkataan “Ya” kepada satu hantaran di X yang menyatakan Trump patut dipecat.

Namun, Trump masih disokong majoriti Republikan di kedua-dua dewan Kongres, menjadikan pemecatan itu sangat tidak mungkin.

Ketegangan antara mereka mula timbul beberapa hari lalu apabila Musk mengkritik keras rang undang-undang pemotongan cukai dan perbelanjaan besar yang diperkenalkan oleh Trump.

Presiden ketika itu berdiam diri, walaupun Musk giat berkempen menentang rang undang-undang itu, dengan menyatakan ia akan meningkatkan hutang negara yang kini mencecah AS$36.2 trilion.

Trump akhirnya bersuara pada Khamis dan menyatakan kepada pemberita dia sangat kecewa dengan Musk.

"Dengar sini, saya dan Elon pernah ada hubungan baik. Saya tak pasti sama ada ia akan berterusan," kata Trump.

Sementara itu, Musk membalas dengan lebih banyak hantaran pedas di X:

"Tanpa saya, Trump akan kalah dalam pilihan raya," tulis Musk, yang dilaporkan telah membelanjakan hampir AS$300 juta menyokong Trump dan calon Republikan lain pada pilihan raya lalu.

"Betapa tidak mengenang budi."

Dalam satu hantaran lain, Musk mendakwa tarif yang diperkenalkan oleh Trump akan mendorong AS ke arah kemelesetan ekonomi menjelang akhir tahun ini.

Selain Tesla, empayar perniagaan Musk turut merangkumi syarikat roket SpaceX dan unit satelit Starlink yang menjadi kontraktor utama kerajaan.

Disebabkan ancaman Trump, Musk berkata dia akan mula menyahaktifkan kapal angkasa Dragon milik SpaceX – satu-satunya kapal angkasa AS yang kini mampu menghantar angkasawan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Namun beberapa jam kemudian, Musk dilihat menarik balik kenyataan itu.

Sebagai respon kepada pengikutnya di X yang menyarankan agar dia dan Trump bertenang dahulu beberapa hari.

"Nasihat yang baik. Ok, kami takkan nyahaktifkan Dragon," kata Musk.

Musk penderma terbesar kepada parti Republikan dalam kempen pilihan raya 2024, menjadi antara penasihat paling berpengaruh kepada Trump apabila dilantik mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan. Musk melancarkan usaha besar-besaran dan kontroversi untuk mengecilkan saiz penjawat awam persekutuan dan memotong perbelanjaan.

Musk kerap muncul di Rumah Putih dan sering hadir ke Capitol Hill, kadang-kadang membawa anak kecilnya.

Hanya enam hari sebelum insiden ini, Trump dan Musk bersama-sama membuat penampilan di Pejabat Oval, memuji perkhidmatan awam Musk dan berjanji akan terus bekerjasama.

Sementara itu, Trump mendakwa penentangan sebenar Musk kerana pemansuhan kredit cukai untuk kenderaan elektrik dalam rang undang-undang tersebut. Trump juga mencadangkan Musk marah kerana sudah tidak lagi bekerja di Rumah Putih.

"Dia bukan yang pertama," kata Trump. "Ramai yang keluar daripada pentadbiran saya… dan kemudian mereka sangat merinduinya. Ada yang kembali, ada yang jadi musuh."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen