malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Puad sindir Annuar - Kami tepuk tangan Zafrul keluar Umno
Diterbitkan:  Jun 6, 2025 12:06 PM
Dikemaskini: 4:11 AM
ADS

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi menyindir bekas pemimpin parti itu, Annuar Musa, susulan kenyataan kontroversi berkait tindakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz meninggalkan Umno.

Dalam satu hantaran di Facebook, Puad berkata, bahawa ahli akar umbi Umno bukan sahaja tidak marah dengan keputusan Zafrul, malah bersyukur kerana dia mengambil langkah keluar parti secara sukarela.

“Seperti kata (Presiden Umno) Ahmad Zahid Hamidi – eloklah keluar kalau tiada kesetiaan dalam parti. Akar umbi pun tak marah. Mereka akan marah kalau dia tak keluar atau tak dipecat,” katanya.

Malah, menurut Puad, tindakan Zafrul lebih terhormat berbanding Annuar, yang didakwa tidak mahu meninggalkan parti walaupun jelas menentang dasar dan kepimpinan Umno.

Tengku Zafrul Abdul Aziz

“Zafrul lagi baik dari Annuar. Zafrul keluar parti. Annuar pula tak mahu keluar. Dia nak jadi duri dalam daging. Mahu tikam Umno dari dalam. Jadi ajen Bersatu.

“Akar umbi Umno tepuk tangan bila dia (Annuar) dipecat. Annuar yang marah sampai masuk PAS. Jilat balik apa dia cerca pasal PAS,” sindir Puad.

Dia mengulas kenyataan bekas setiausaha agung Umno itu bahawa tindakan Zafrul keluar parti sudah dirancang, memandangkan menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu berterima kasih kepada presiden Umno kerana tidak memarahinya.

Bulan lalu, Zafrul mengumumkan peletakan semua jawatan dalam Umno dan menyatakan hasrat menyertai PKR.

'Hari ini dalam sejarah'

Sebelum ini, dalam hantaran berasingan, Puad turut mengulas kenyataan Annuar yang menyifatkan tindakan Zafrul keluar Umno sebagai “hari ini dalam sejarah”. Namun dia menyindir balik bahawa individu yang lebih banyak mencipta detik sejarah adalah Annuar sendiri.

“Dia (Annuar) tak jelaskan kenapa ia jadi sejarah. Tapi kalau isu kesetiaan dijadikan ukuran, Annuar yang lebih banyak cipta sejarah,” katanya.

Sebagai rekod, Annuar Musa sebelum ini juga menjawat jawatan setiausaha agung BN dan juga Pengerusi Mara, namun kedua-dua jawatan itu ditamatkan atas pelbagai isu, termasuk dakwaan tidak sehaluan dengan kepimpinan Umno.

“Annuar dipecat bukan setakat isu kesetiaan, tetapi juga isu tata kelola. Dia dipecat sebagai pengerusi Mara. Mana ada bekas pengerusi Mara dipecat? Memang sejarah betul,” kata Puad.

Annuar Musa semasa berkempen di Nenggiri

Mengulas penglibatan Annuar dalam politik semasa, Puad turut menyindir lantikannya sebagai pengarah jentera pilihan raya PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini.

“PAS lantik Annuar jadi Pengarah PRK Nenggiri. Itu kubu PAS. Tapi kalah lebih teruk. Annuar terus cipta banyak ‘hari ini dalam sejarah’,” katanya lagi.

Annuar dipecat daripada Umno pada Disember 2022 selepas beberapa siri kritikan terbuka terhadap kepimpinan Zahid dan dasar parti, serta dakwaan terbabit dalam gerakan menyokong parti lawan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen