Pengerusi Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy, telah mengutus surat kepada ketua pembangkang Hamzah Zainudin, bagi mendapatkan sokongan PN untuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai keharmonian kaum dan agama.
“Malaysia kini berada di persimpangan. Perpaduan tidak boleh dibina melalui hanya kata-kata — ia menuntut keberanian untuk bertindak, walaupun tidak mudah.
“Sebagai ketua pembangkang, anda ada peluang untuk menunjukkan visi anda bukan sekadar untuk kepentingan politik, tetapi satu langkah ikhlas ke arah membina sebuah negara di mana setiap warga — tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang — rasa diiktiraf, didengari dan dihormati,” katanya dalam surat berkenaan.
Waytha menyifatkan visi PN untuk satu “konsensus nasional baru” — yang berteraskan matlamat bersama, kemakmuran bersama, dan tadbir urus yang prihatin — sebagai langkah yang tepat pada masanya dan wajar dipuji, di tengah ketegangan politik dan perkauman yang semakin meruncing di Malaysia.
Namun, katanya, konsep perpaduan terlalu kerap dipertahankan melalui sikap berdiam diri berbanding usaha perdamaian, apabila keutamaan politik mengatasi dialog yang ikhlas, sekaligus menggadaikan perpaduan jangka panjang demi keuntungan jangka pendek.
Walaupun mengiktiraf sisi aspirasi konsensus nasional baru itu, Waytha menegaskan ia masih tiada mekanisme yang jelas untuk mencapai matlamat yang diinginkan.

“Ia turut menimbulkan persoalan, terutama apabila dibandingkan dengan pendirian sejarah rakan anda. Sebagai contoh, retorik eksklusif yang telah lama dibawa PAS amat bertentangan dengan semangat inklusif yang terkandung dalam cadangan baru ini.
“Ia menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat bukan Melayu sama ada ‘konsensus baru’ ini sekadar pendekatan politik yang dirangka bagi meraih semula sokongan yang hilang. Penting untuk menangani kebimbangan ini dan memastikan semua rakan gabungan selari dengan visi perpaduan dan keterangkuman nasional,” katanya lagi.
Waytha berkata lagi, jika PN benar-benar ikhlas dalam usaha membina perpaduan, ia seharusnya menyokong gesaan MAP dan Hindraf untuk menubuhkan RCI, yang disifatkannya sebagai langkah penting ke arah kebenaran, perdamaian dan pembaharuan negara.
Terdahulu, Hamzah menyatakan visi PN mengenai “konsensus nasional baru” bertujuan mengatasi perpecahan politik dan masyarakat, serta merancang kemakmuran masa depan Malaysia.
Berucap di Institut Iseas–Yusof Ishak di Singapura bulan lalu, Hamzah yang merupakan Timbalan Pengerusi PN menegaskan konsensus tersebut tidak seharusnya terbatas kepada “satu kaum, satu agama atau satu wilayah”.
“Pada pendapat saya, konsensus baharu itu mesti dibina atas tiga teras utama meliputi matlamat bersama, kemakmuran bersama serta tadbir urus yang penuh belas ihsan," katanya.

