malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN l Retorik ke realiti? Kota Madani mahu ubah wajah Putrajaya
ADS

ULASAN l Dalam landskap pembangunan moden yang semakin pesat, wujud keperluan mendesak untuk mewujudkan bandar yang bukan sahaja berfungsi secara efisien, tetapi juga membudayakan nilai insaniah, kelestarian dan kesejahteraan rakyat.

Menjawab tuntutan ini, Kota Madani muncul bukan sekadar sebagai projek infrastruktur, tetapi sebagai gagasan transformasi ruang hidup berasaskan nilai dan visi yang menjangkau sempadan material.

Untuk itu, Putrajaya bakal menyaksikan kelahiran sebuah kota futuristik yang bukan sekadar dibina atas batu dan besi, tetapi atas nilai kemanusiaan, teknologi dan budaya.

Kota Madani – satu projek transformasi bandar berskala besar – kini menjadi mercu aspirasi kerajaan Malaysia dalam membentuk masa depan pembangunan bandar yang bukan sahaja canggih, tetapi juga bermaruah dan menyeluruh.

Projek ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sebagai sebahagian daripada agenda strategik jangka panjang kerajaan. Menurut beliau, “Konsep Kota Madani menekankan kemudahan asas yang menyeluruh dan berpusat demi kebajikan rakyat.”

Kota Madani akan dibina di kawasan seluas 102 ekar di Putrajaya, melibatkan pembinaan 10,000 unit kediaman untuk menampung lebih 30,000 penduduk secara berintensiti tinggi dan vertikal.

Apa yang membezakan Kota Madani daripada projek-projek konvensional lain ialah penekanan kepada keseimbangan antara kecanggihan teknologi dan prinsip kemasyarakatan.

Reka bentuknya mengintegrasikan sistem mobiliti hijau, kecerdasan buatan (AI), dan prasarana digital berkecekapan tinggi. Ini menjadi asas kepada sebuah bandar rendah karbon yang menjunjung prinsip kemampanan, kesejahteraan dan keselamatan awam.

Ia menggabungkan kemudahan asas menyeluruh seperti sekolah menegak, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), klinik kesihatan, institusi kewangan, balai polis, balai bomba dan masjid – semuanya dirancang berdekatan kawasan perumahan untuk memudahkan akses dan meningkatkan kesejahteraan harian.

Visi ini sejajar dengan gagasan Bandar Chase – Clean, Healthy, Advanced, Safe, Eco-Friendly – yang diperkenalkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Menurut beliau, pembangunan ini mencerminkan hasrat untuk membina ruang bandar yang lebih “manusiawi serta progresif”, di mana teknologi bukan sekadar menjadi alat moden, tetapi penyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

Ada pihak yang mempertikaikan Kota Madani sebagai sekadar penjenamaan narsistik, atau menuduhnya bersifat simbolik semata-mata tanpa substansi. Malah, ada juga yang melihat penggunaan istilah “Madani” sebagai satu pendekatan politik peribadi yang tidak lestari.

Ada yang berkata: “Kota Madani masih bersifat simbolik. Ia terlalu banyak bercakap, terlalu banyak berjanji, dan terlalu sedikit merendah diri. Apatah lagi apabila istilah “Madani” itu sendiri ditafsirkan semula untuk mencerminkan naratif politik individu tertentu, maka kota ini mula tergelincir menjadi monumen narsisme teknokratik, bukan ruang peradaban rakyat.”

Namun, realitinya berbeza. Kota Madani bukan sekadar deretan bangunan konkrit. Ia adalah manifestasi komitmen terhadap pembangunan seimbang – antara keperluan fizikal dan pembangunan rohani. Masjid yang dibina bukan sekadar tempat ibadah, tetapi bakal menjadi pusat ilmu dan perpaduan.

TVET pula bukan sekadar tempat kemahiran teknikal, tetapi pemangkin kepada tenaga kerja berdaya saing dalam era AI dan ekonomi digital.

Dalam konteks ini, Kota Madani juga menjadi medan pembudayaan semula nilai hidup bermasyarakat. Apabila fasiliti disusun secara bersepadu – dari pendidikan hingga kesihatan, dari keselamatan hingga spiritualiti – maka yang terbentuk ialah ekosistem hidup yang harmoni, lestari dan bermaruah.

Kota Madani adalah tindak balas terhadap keperluan sebenar rakyat – menyediakan tempat tinggal yang selamat, fasiliti yang mudah diakses dan peluang pendidikan serta pekerjaan di kawasan yang sama.

Ia bukan sekadar nama. Ia mewakili prinsip dasar kerajaan yang mementingkan rakyat – dari segi penyediaan perumahan mampu milik hingga integrasi kemudahan komuniti dalam radius hidup harian. Projek ini bukan dibina untuk kemegahan elit, tetapi untuk kegunaan, manfaat dan pemerkasaan warga biasa.

Tidak timbul soal pembaziran sumber hanya kerana penjenamaan. Setiap pembangunan memerlukan visi dan identiti.

Kota Madani mengangkat nilai sejagat seperti kesejahteraan, kemajuan dan tanggungjawab sosial – nilai yang bukan eksklusif kepada mana-mana parti atau era pemerintahan, tetapi boleh diteruskan dan disesuaikan oleh generasi seterusnya.

Hujahan yang memperlekehkan konsep sekolah menegak atau mobiliti hijau sebagai “gimik” tidak berasas. Di bandar moden yang menghadapi keterbatasan ruang dan peningkatan populasi, sekolah vertikal adalah penyelesaian bijak. Reka bentuk dengan syarat keselamatan ketat, lif khusus dan akses langsung kepada perumahan menjadikannya inovasi yang sesuai dengan zaman.

Seperti kata Perdana Menteri pada Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 6, pembinaan sekolah vertikal yang diperkenalkan dalam Kota Madani akan menetapkan syarat pembangunan keselamatan yang ketat di mana reka bentuknya lebih teratur berbanding sekolah sedia ada.

Visi Kota Madani dan Bandar Chase ini juga sebenarnya adalah visi Dr Zaliha ke arah menjadikan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan sebagai bandar yang bersih, sihat, maju, selamat dan mesra alam sekali gus menjadi tonggak reformasi bandar di Wilayah Persekutuan

Malangnya, sebahagian daripada kita bersikap sinis tanpa asas yang konstruktif – apabila seorang menteri tiada visi, beliau dikritik sebagai lemah dan tidak berwibawa; namun apabila visi yang progresif dan berani diketengahkan, fokus tiba-tiba beralih kepada penjenamaan semata-mata, bukan pada isi dan impaknya.

Mereka yang menyifatkan Kota Madani sebagai simbolik semata-mata telah gagal melihat makna yang lebih dalam. Ia bukan sekadar “penjenamaan”, tetapi lambang keberanian untuk mencabar status quo dan menata semula perancangan bandar agar lebih adil, lestari dan berpaksikan rakyat.

Di akhir setiap debat, apa yang kekal ialah impak sebenar kepada rakyat: Adakah mereka dapat hidup dengan lebih selesa, berpeluang mendapat pendidikan dan pekerjaan berkualiti serta hidup dalam komuniti yang menyokong dan menyantuni? Kota Madani menjawab semua itu dengan tindakan, bukan dengan retorik.


PROF MADYA MASHITAH MOHD UDIN adalah pengarah program peningkatan eksekutif Ghazali Shafie (GSEEP), Universiti Utara Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen