malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Petronas akan kurangkan 10 peratus tenaga kerja
Diterbitkan:  Jun 5, 2025 6:59 PM
Dikemaskini: 11:09 AM
ADS

Petronas akan mengurangkan tenaga kerjanya sebanyak kira-kira 10 peratus bagi mengurangkan kos, susulan kejatuhan harga minyak mentah dan dan kesan ketidaktentuan pasaran yang sukar dijangka ke atas keuntungannya.

CEO Petronas Tengku Muhammad Taufik Aziz berkata langkah itu akan memberi kesan kepada lebih 5,000 kakitangan, yang akan dimaklumkan menjelang akhir tahun ini.

Selain penstrukturan semula syarikat secara menyeluruh, semua kenaikan pangkat dan pengambilan pekerja baru akan dibekukan sehingga Disember 2026, katanya lagi dalam satu taklimat di Kuala Lumpur hari ini, seperti dipetik Bloomberg.

Menurut laporan itu, keuntungan Petronas merosot 32 peratus pada tahun lalu, selepas kemerosotan 21 peratus pada tahun sebelumnya.

Tengku Muhammad Taufik Aziz

“Keadaan dijangka terus mencabar pada tahun ini, sebahagiannya disebabkan oleh penurunan berterusan harga minyak mentah Brent,” katanya.

Pada 27 Februari lalu, Muhammad Taufik berkata Petronas sedang menilai pelaksanaan langkah "pelarasan semula" tenaga kerja, dan berkata proses itu dijangka dimuktamadkan menjelang pertengahan 2025.

Dia menafikan yang langkah itu hanya akan melibatkan kakitangan peringkat bawahan, dengan menjelaskan ia akan dimulakan di peringkat pengurusan dan ke atas.

Ketika itu, dia menegaskan pemberhentian besar-besaran bukanlah satu pilihan yang dinilai.

“Seperti yang dilaporkan oleh ramai pihak, kami ada antara 15,000 hingga 16,000 kakitangan sokongan (enablers) yang merangkumi pelbagai aspek fungsi sokongan. 

“Adakah anda menyimpulkan bahawa laporan yang mengatakan saya akan ‘hapuskan’ 16,000 pekerjaan itu betul?

“Mustahil. Kita perlu meneliti perkara ini dengan bijaksana dan memberi ruang kepada perniagaan untuk menjelaskan keperluannya,” katanya seperti yang dipetik oleh Bernama.

Dia turut berkata mereka yang terlibat dalam pengurangan tenaga kerja itu akan dilayan dengan penuh hormat dan adil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen