Mahkamah Rayuan Putrajaya menangguhkan keputusan permohonan bekas peguam negara Tommy Thomas untuk menukar hakim Mahkamah Tinggi dalam kes tuntutan mahkamah yang difailkan terhadapnya oleh bekas pengerusi Felda Shahrir Samad.
Penangguhan itu dibuat selepas panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Supang Lian mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak dalam sesi dalam talian hari ini.
Menurut The Star, peguam Tommy, Alan Gomez berhujah bahawa permohonan untuk hakim, Roz Mawar digantikan bukan berdasarkan alasan peribadi kerana ia berpunca daripada niat untuk memastikan perbicaraan yang adil.
Dia berkata Roz, setelah menolak permohonan Tommy untuk membatalkan dakwaan Shahrir tahun lepas, mungkin telah membuat pendapat awal sebelum perbicaraan bermula.
Dia seterusnya menegaskan bahawa Roz telah membuat kesimpulan dalam fasa pra-perbicaraan yang tidak dibuktikan dengan bukti dan oleh itu harus menarik diri.
Sebaliknya, peguam Shahrir, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin membalas dengan mengatakan bahawa kenyataan Roz adalah bersifat inferensial dan tidak membentuk penentuan fakta berdasarkan merit kes.
Mahkamah menetapkan 12 Jun ini untuk pengurusan kes menetapkan tarikh keputusan.
Tommy mengemukakan permohonan menarik diri pada 26 Ogos tahun lepas, menegaskan bahawa Roz telah membuat beberapa kesimpulan tidak berasas dan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan kedua-dua tuntutan yang digariskan dalam saman itu dan keterangan yang dibawa ke mahkamah.
Bagaimanapun, dalam menentang permohonan itu, Shahrir berhujah bahawa seseorang hakim tidak seharusnya berundur semata-mata kerana sesuatu pihak tidak bersetuju dengan alasan undang-undangnya.
Pada 14 Jan lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Tommy untuk menukar Roz daripada saman fitnah yang dibawa Shahrir dan tiga yang lain terhadapnya.
Pada 4 Dis 2023, Shahrir memfailkan saman terhadap Thomas, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya, SPRM, dan kerajaan atas tuduhan pendakwaan berniat jahat.
Dalam pernyataan tuntutan, Shahrir berkata dia juga menyaman ketiga-tiga pihak itu untuk siasatan berniat jahat dan tangkapan salah.
Ini adalah berhubung kes pengubahan wang haram membabitkan RM1 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri Najib Abdul Razak, yang mana dia dibebaskan pada 5 Jan.
Pembebasan penuh itu dibuat selepas keterangan saksi pendakwaan, pegawai penyiasat SPRM Nurzahidah Yacop, bahawa Thomas pada 2020 memberi kebenaran kepada Shahrir untuk didakwa di mahkamah walaupun kertas siasatan tidak lengkap.

