malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Krisis air: Persatuan pelajar gesa UMS saman jabatan air RM100 juta
Diterbitkan:  Jun 5, 2025 6:26 PM
Dikemaskini: 10:26 AM
ADS

Kumpulan aktivis pelajar yang terlibat dalam penganjuran satu perhimpunan yang dijadual di Kota Kinabalu — dengan isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) antara tumpuan utama — sekali lagi menggesa pihak pentadbiran universiti untuk memfailkan saman RM100 juta terhadap Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Gesaan itu dibuat semasa pertemuan antara kumpulan tersebut, Suara Mahasiswa Sabah dengan Naib Canselor UMS Prof Kasim Mansur, di kampus universiti hari ini.

Perbincangan awal terus menyentuh isu bekalan air UMS dan tuntutan pertama perhimpunan, iaitu saman RM100 juta terhadap JANS dan kembalikan wang itu kepada warga universiti, meliputi kebajikan mahasiswa, pekerja dan para pensyarah,” kata Presiden Suara Mahasiswa UMS Fadhil Kasim.

Menurut Fadhil, Kasim (gambar utama, dua dari kanan) menyuarakan kebimbangan universiti terhadap beberapa aspek, khususnya berkenaan pendekatan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara sebuah universiti awam dan agensi negeri dalam memulakan tindakan undang-undang.

Bagaimanapun, Fadhil tetap bertegas agar saman itu diteruskan, memandangkan usaha sebelum ini oleh UMS bagi menyelesaikan isu bekalan air telah gagal dan menyebabkan masalah kepada para pelajar.

Fadhil Kasim

UMS telah menggunakan banyak sumber universiti terutama aspek kewangan dalam mengatasi isu air seperti memesan tangki air.

JANS perlu segera diheret ke mahkamah. Perkara ini diletakkan sebagai tuntutan pertama gerakan Gempur Rasuah Sabah 2.0. 

“Universiti juga boleh mendapatkan khidmat dan nasihat Suhakam dalam proses memulakan tindakan perundangan tersebut,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Krisis bekalan air

Sebelum ini, Kasim menyatakan UMS mula menghadapi masalah kekurangan air seawal 2020, susulan pembangunan pesat di kawasan sekitar universiti itu.

UMS memerlukan antara 3.5 hingga lima juta liter air setiap hari untuk menampung kira-kira 11,000 pelajar yang tinggal di kampus serta lebih 23,000 orang pada waktu siang.

Pada 3 Jun lalu, Ketua Wira Warisan Terence Au mempersoalkan mengapa kerajaan Sabah dilihat meremehkan krisis air yang kritikal di UMS, walaupun terdapat bukti kukuh mengenainya.

Kampus UMS

Dia turut mempersoalkan mengapa usaha UMS untuk menangani isu tersebut sejak 2023 seolah-olah diabaikan atau dipandang remeh oleh JANS.

Pada bulan lalu, Suara Mahasiswa Sabah mengumumkan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 dijadual diadakan pada 21 dan 22 Jun ini.

Kebebasan bersuara

Dalam pertemuan hari ini, kata Fadhil lagi, Kasim mengulangi pendiriannya bahawa kebebasan bersuara merupakan hak setiap pelajar dan rakyat, sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“(Namun) Naib Canselor (Kasim) bangkitkan kerisauan mengenai kebenaran pemilik tempat (himpunan), dan kami mengatakan kerajaan kini melaksanakan moratorium terhadap subseksyen 5 (kebenaran pemilik tempat) dalam Akta Perhimpunan Aman yang juga bakal dipinda susulan pengumuman Perdana Menteri tempoh hari. 

“Kami juga mendengar kisah ketika Profesor Kasim belajar di Amerika Syarikat sekitar 80-an, mengenai kebebasan bersuara mahasiswa di sana dalam menyatakan kritikan terhadap pemimpin serta solidariti perjuangan pembebasan Palestin,” katanya lagi.

Fadhil berkata lagi, isu lain yang dibangkitkan semasa pertemuan termasuk bantahan terhadap pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah Musa Aman sebagai Canselor UMS; permintaan rasmi bagi pengurangan yuran pengajian; serta ancaman perobohan t sebuah sekolah alternatif untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan yang dikendalikan oleh kumpulan pelajar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen