malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Gesa PM cuti: Hujah ketua Pemuda PAS 'culas dan malas' - Kamil
Diterbitkan:  Jun 5, 2025 4:11 PM
Dikemaskini: 8:17 AM
ADS

Pemuda PKR menyelar saranan Pemuda PAS agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim bercuti sementara perbicaraan kes saman Yusoff Rawther terhadapnya selesai.

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang mengutarakan cadangan itu, berkata ia bagi memberikan ruang kepada perbicaraan untuk berjalan secara adil, telus dan saksama tanpa sebarang campur tangan eksekutif.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda PKR Muhammad Kamil Abdul Munim menolak cadangan itu sebagai satu “hujah culas dan malas”.

Menurut Kamil, saranan Afnan itu juga bahaya dan tidak bertanggungjawab kerana seperti menggambarkan wujud campur tangan eksekutif dalam pentadbiran kehakiman. 

“Faktanya, keputusan Mahkamah Tinggi semalam bukti jelas bahawa tidak wujud sebarang campur tangan dalam menentukan keputusan permohonan tersebut. 

“Hakim bebas membuat penilaian berdasarkan hujah pihak-pihak di mahkamah. Ini bukti jelas bahawa Kerajaan Madani menjunjung tinggi prinsip pengasingan kuasa termasuk kebebasan institusi kehakiman,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Afnan Hamimi

Kamil merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang menolak permohonan Anwar untuk menangguhkan prosiding saman sivil Yusoff.

Hakim Roz Mawar Rozain turut memerintahkan Anwar untuk membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Yusoff dan menetapkan perbicaraan diteruskan pada 16 Jun ini seperti yang dijadualkan.

Susulan kitu, Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar menggesa Anwar mengambil cuti sementara serta  Timbalan Perdana Menteri 1 Ahmad Zahid Hamidi atau Timbalan Perdana Menteri 2 Fadhillah Yusof untuk memangku jawatan tersebut.

“Justeru, kami menggesa agar semua pihak menghormati keputusan mahkamah dan menyeru agar Anwar berjiwa besar untuk memelihara integriti jawatan Perdana Menteri demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

Afnan turut menyifatkan kes tersebut memberi kesan kepada reputasi Anwar di mata rakyat serta keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kestabilan pentadbiran negara.

Namun, kata Kamil lagi, jika logik yang sama digunakan, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud juga sepatutnya mengambil cuti sementara ketika berdepan kes mahkamah sebelum ini.

“Keupayaan Perdana Menteri untuk menjalankan tugasnya sebagai ketua eksekutif harus dinilai dari prestasi, bukan kebencian politik seperti yang diamalkan oleh PAS,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen