Susulan kematian tragis dua kanak-kanak yang terjatuh dari kediaman bertingkat tinggi mereka di Puchong dan Putrajaya selang beberapa hari antara satu sama lain bulan lalu, Suhakam menggesa kerajaan dan semua pihak berkepentingan untuk mengambil tindakan segera dan tegas.
Pesuruhjaya kanak-kanak Suhakam Farah Nini Dusuki berkata tragedi berturut-turut itu bukan kemalangan terpencil.

“Ia adalah kematian yang boleh dielakkan yang menyerlahkan kegagalan serius untuk melaksanakan langkah keselamatan penting di bangunan kediaman bertingkat tinggi.
"Kanak-kanak ini tidak perlu mati. Kematian mereka adalah akibat langsung daripada kecuaian sistemik dalam mengutamakan keselamatan kanak-kanak iaitu paling penting: di rumah," katanya dalam satu kenyataan.
Farah berkata sebagai pihak dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), Malaysia bertanggungjawab di sisi undang-undang untuk melindungi hak setiap kanak-kanak untuk hidup, perkembangan dan perlindungan daripada bahaya yang boleh dijangkakan.
"Persekitaran rumah yang selamat bukanlah satu keistimewaan - ia adalah hak asasi dan tanggungjawab undang-undang dan moral," tegasnya.

"Kematian ini bukan kemalangan semata-mata - ia adalah tragedi yang boleh dielakkan. Kekurangan ciri keselamatan asas di rumah bertingkat secara langsung menyumbang kepada kehilangan nyawa yang tidak bersalah. Ini tidak boleh diterima dalam mana-mana masyarakat yang mendakwa menegakkan hak kanak-kanak," katanya.
Langkah-langkah keselamatan
Sehubungan iyu, pesuruhjaya kanak-kanak tersebut menyeru kerajaan - baik di peringkat persekutuan dan negeri - dan semua pihak berkepentingan yang berkaitan untuk mengambil tindakan segera dengan melaksanakan langkah-langkah berikut untuk mengelakkan tragedi selanjutnya:
1. Perundangan dan peraturan keselamatan.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mesti memperkenalkan undang-undang khusus untuk meningkatkan keselamatan kanak-kanak di bangunan kediaman bertingkat tinggi.

Ini termasuk mewajibkan pemasangan jeriji keselamatan atau jaringan pelindung pada semua tingkap dan balkoni, termasuk di unit sewaan.
Piawaian reka bentuk keselamatan minimum untuk kediaman bertingkat yang mesra kanak-kanak harus dimasukkan ke dalam undang-undang dan peraturan bangunan sedia ada.
2. Piawaian reka bentuk keselamatan kanak-kanak wajib.
Kementerian dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mesti menyemak semula garis panduan reka bentuk bangunan bagi memastikan ciri keselamatan kanak-kanak disepadukan sebagai komponen wajib dalam semua pembangunan kediaman bertingkat.
3. Kempen kesedaran dan pendidikan awam.
NGO, Badan Pengurusan Bersama (JMB), dan Perbadanan Pengurusan bangunan bertingkat harus mengetuai kempen kesedaran awam tentang keselamatan rumah, terutamanya menyasarkan ibu bapa, penjaga dan komuniti.

Kempen-kempen ini harus dimasukkan dalam program kesihatan masyarakat dan dipromosikan secara aktif oleh pelawat kesihatan, terutamanya dalam isi rumah yang mempunyai anak kecil.
4. Pemeriksaan pematuhan yang kerap dan ketat.
Pihak berkuasa tempatan mesti kerap menjalankan pemeriksaan hartanah kediaman bertingkat - terutamanya unit sewa - untuk memastikan pematuhan piawaian dan keperluan keselamatan kanak-kanak yang ditetapkan.

Kematian ini bukan kemalangan semata-mata - ia adalah tragedi yang boleh dielakkan. Kekurangan ciri keselamatan asas di rumah bertingkat secara langsung menyumbang kepada kehilangan nyawa yang tidak bersalah. Ini tidak boleh diterima dalam mana-mana masyarakat yang mendakwa menegakkan hak kanak-kanak.

