Polis menemui mayat seorang lelaki di sebuah tapak pembinaan di Bangsar semalam ketika menjalankan usaha menjejaki seorang warga British yang dilaporkan hilang sejak 27 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pasukan penyiasat melakukan pencarian di kawasan itu berdasarkan siasatan mereka, termasuk semakan terhadap rakaman CCTV.
Bagaimanapun, polis masih belum dapat mengesahkan jika mayat berkenaan milik individu yang hilang itu kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersama mayat tersebut.
Ketika dihubungi sekitar jam 11.45 pagi, Ku Mashariman memaklumkan proses bedah siasat masih dijalankan di hospital dan keluarga mangsa hilang akan cuba mengenal pasti sekiranya mayat itu milik lelaki berusia 25 tahun itu atau tidak.

“Kita selesai bedah siasat, barulah kita tengok keluarga itu boleh cam ke tak.
“Keluarga (mangsa yang hilang) dah ada (di sini),” katanya.
Ditanya jika polis menemui sebarang unsur jenayah dalam kes kematian tersebut, dia berkata pihaknya tidak dapat mengulas lanjut sehingga proses bedah siasat selesai.
“Sekarang buka kes SDR (laporan kematian mengejut),” tambah Ku Mashariman.

Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dipanggil bagi membantu mengeluarkan mayat seorang lelaki yang ditemui di dalam ruang lif sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan di Lorong Maarof, Bangsar.
Tapak kejadian itu terletak kira-kira satu kilometer dari sebuah bar di Jalan Telawi, tempat pelancong warga UK, Jordan-Johnson Doyle, dilaporkan kali terakhir dilihat pada 27 Mei.
Pada 31 Mei lalu, ibu Doyle, Leanne Burnett, memuat naik mesej di laman Facebook ‘Missing Persons in Malaysia - Sharing is Caring Facebook Group’ bagi memohon bantuan orang ramai menjejaki anaknya.




