malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Pengampunan Anwar: Fakta undang-undang, bukan dendam politik
ADS

Barangkali inilah masanya untuk kita benar-benar merenung kembali maksud peribahasa, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Apatah lagi jika nila itu dituang oleh tokoh yang pernah diangkat sebagai negarawan, yang kini menabur ragu ke dalam benak rakyat terhadap institusi Lembaga Pengampunan Diraja. Ia merupakan satu manifestasi paling tinggi dalam keampunan undang-undang negara.

Kenyataan terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pengampunan diraja ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar menyentuh sejarah politik peribadi, tetapi menyerang asas Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Ia juga mencabar kewibawaan Lembaga Pengampunan sekali gus memperlekehkan kredibiliti Jabatan Peguam Negara yang merupakan antara tunggak sistem keadilan negara.

Sebagai peguam, saya terpanggil untuk menegaskan bahawa di sinilah garisnya.

Kita boleh berbeza ideologi, tetapi jangan sesekali mengheret keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang ke dalam permainan silap mata politik. Fakta undang-undang bukanlah seperti pasir pantai. Ia tidak boleh dibentuk sesuka hati mengikut ombak politik.

Yang tersurat dan yang tersirat

Tun Mahathir mendakwa kononnya pengampunan ke atas Datuk Seri Anwar pada Mei 2018 tidak sah kerana tidak dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan. Namun menurut kenyataan rasmi Jabatan Peguam Negara, Tun sendiri sebagai Perdana Menteri pada ketika itu telah hadir dalam mesyuarat tersebut, yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V.

Malah, mesyuarat tersebut tidak pun dijalankan tanpa pedoman atau hala tuju. Ia disandarkan kepada nasihat bertulis Peguam Negara berdasarkan Fasal (9) Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan. Ia juga disahkan dalam prosedur yang diperuntukkan secara jelas oleh Perlembagaan Persekutuan.

Maka apabila seseorang yang pernah duduk dalam ruang itu kini berdalih seolah-olah tidak tahu-menahu, ini bukan lagi soal lupa, tetapi mungkin memilih untuk lupa.

Sindirannya terhadap sistem yang satu ketika dahulu beliau sendiri kemudi hakikatnya telah mengundang suatu tafsiran yang berat. Adakah kita sedang melihat percubaan membina semula naratif sejarah demi menjayakan agenda yang tidak selesai?

Institusi Diraja dan keluhuran perlembagaan

Paling mendukacitakan, kenyataan seperti ini bukan sahaja menjejaskan kredibiliti pengampunan Anwar, tetapi juga menimbulkan keresahan atas kepercayaan awam terhadap institusi raja-raja Melayu. Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan bahawa kuasa pengampunan adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan yang turut disertai oleh peguam negara.

Tuduhan sedemikian bukan sahaja suatu tindakan yang jelas mempersoalkan keabsahan proses tersebut. Malah secara tidak langsung memperkecilkan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya kenyataan ini tidak ditegur secara serius, ia membuka pintu kepada satu budaya berbahaya iaitu mempertikai keputusan Raja Berperlembagaan atas asas politik dendam. Ini bukan semangat Rule of Law yang sebenar. Ini adalah rule of nostalgia.

Sebagai seorang pengamal undang-undang, saya ingin mengajak semua pihak agar tidak bermain dengan sentimen yang boleh melemahkan prinsip perlembagaan yang menjadi asas dan tunjang dalam negara kita.

Jangan jadikan institusi negara sebagai pelantar propaganda retrospektif. Seperti kata ahli falsafah Greek, Heraclitus: “No man ever steps in the same river twice.” Masa telah berlalu dan realiti telah berubah. Sejarah itu adalah suatu pedoman dan bukan alat untuk membalas dendam.

Di samping itu, saya juga menyeru agar seluruh rakyat Malaysia mengambil sikap yang jelas untuk tidak mudah goyah dengan retorik yang mengaburi kebenaran. Kita harus terus mempertahan asas keadilan, bukan kerana siapa yang diampunkan, tetapi kerana keampunan itu sendiri lahir dari prinsip yang sah dan proses yang benar.

Akhir kata, jika benar Melayu mudah lupa, maka menjadi tanggungjawab kita yang muda ini untuk mengingatkan, menuliskan kembali naratif yang benar, dan tidak membiarkan yang palsu dicetak sebagai kebenaran untuk generasi mendatang.

KHAIRUL NAIM RAFIDI ialah peguam dan pengerusi tetap Pemuda PKR (AMK).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen