Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan Anwar Ibrahim memohon imuniti dalam kes saman berkaitan dakwaan serangan seksual terhadapnya memberi bayangan seolah-olah perdana menteri itu bersalah.
Mahathir berkata, seseorang raja sekali pun tidak terlepas daripada tindakan mahkamah sekiranya membuat kesalahan.
"Kalau buat salah dia boleh dihadap ke mahkamah. Tapi ini satu orang yang kalah dalam pilihan raya, dia bukan menang, dia kalah.
"Lepas ni dia minta imuniti bagi diri dia. Bermakna dia mengaku bahawa dia buat salah. Cuma cara imuniti saja yang dia boleh didapati tidak bersalah," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Anwar untuk menangguhkan prosiding saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantunya, Yusoff Rawther.
Dalam saman itu Yusoff mendakwa Anwar melakukan serangan seksual ke atasnya.
Dalam penghakimannya, hakim Roz Mawar Rozain menyatakan lapan persoalan perlembagaan yang dikemukakan oleh Anwar untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan tidak memenuhi tahap kelayakan yang diperlukan.
Sehubungan itu, hakim memerintahkan agar perbicaraan diteruskan pada 16 Jun ini seperti yang dijadualkan.
Roz Mawar turut memerintahkan Anwar membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Yusoff – yang memulakan tindakan undang-undang tersebut pada 2021.
Sementara itu, Mahathir berkata permohonan mendapatkan imuniti merupakan cara Anwar untuk mengelak daripada menghadapi perbicaraan di mahkamah kerana tahu dia boleh kalah dalam kes itu.
"Jadi inilah keadilan cara Anwar. Kalau salah jangan bicara, kalau boleh menang, bicara.
"Kalau tak nak perbicaraan (bermakna) awak sudah mengaku awak cakap bohong," katanya lagi.

