Setelah beberapa lama berteka-teki, cakap-cakap berkaitan pemain warisan baru Malaysia ternyata benar.
Malaysia akhirnya memperoleh empat pemain warisan baru dari luar negara bagi memperkuat pasukan kebangsaan bagi berdepan Vietnam minggu depan dalam perlawanan kelayakan Piala Asia.
Antara mereka ialah pemain kelahiran Argentina Imanol Machuca yang mempunyai nilai pasaran lebih RM12 juta ringgit.
Selain itu Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado juga telah melaporkan diri ke kem latihan Harimau Malaya di Kuala Lumpur.
Kesemua mereka menjalani latihan bersama skuad kebangsaan sejak beberapa hari lalu dan, menurut kenyataan pasukan, menunjukkan prestasi yang meyakinkan.
“Sejak saya tiba di kem latihan negara, Malaysia telah memberikan yang terbaik untuk saya.
“Saya dapat merasakan ia sesuatu yang amat istimewa untuk mewakili pasukan Harimau Malaya dan ia adalah satu penghormatan, dan saya akan berikan segalanya,” kata Machuca, pemain sayap kelahiran Argentina yang kini bersama Vélez Sarsfield.
Imanol Machuca, 25, yang juga kelahiran Argentina, memulakan kerjayanya bersama Unión Santa Fe sebelum berhijrah ke Brazil dan kembali semula ke Argentina. Dia boleh beraksi di kedua-dua posisi sayap.
Sementara itu, pertahanan tengah dan bek kiri, Jon Irazabal, menyifatkan pemilihannya mewakili Malaysia sebagai tanggungjawab kebangsaan.
“Saya telah memilih Malaysia, kerana saya percaya di sinilah tanggungjawab kebangsaan saya sebenarnya terletak.
“Saya sudah mula merasai sendiri betapa istimewa dan uniknya bermain untuk Malaysia,” katanya.
Pemain kelahiran Bilbao, Sepanyol itu kini beraksi bersama Sabah FK dalam Liga Premier Azerbaijan dan memiliki pengalaman bermain di beberapa kelab di Sepanyol.
Dua penyerang baharu turut diperkenalkan — João Figueiredo dan Rodrigo Holgado — yang masing-masing berasal dari Brazil dan Argentina.
Figueiredo, 29, kelahiran Sao Paulo, Brazil yang kini bermain bersama İstanbul Başakşehir di Turki, berkata dia menganggap penyertaannya bersama skuad kebangsaan Malaysia sebagai satu penghormatan besar.
“Secara peribadi, musim ini amat bermakna bagi saya. Dan kini, dapat mewakili Malaysia serta berkongsi impian ini bersama anda semua — untuk melangkah lebih jauh di peringkat Asia dan dunia — benar-benar satu penghormatan.
“Saya tak sabar merasai sokongan dan kasih sayang daripada para penyokong. Ia sesuatu yang unik dan luar biasa,” katanya.
Holgado, 29, kelahiran La Tablada, Argentina yang kini bersama América de Cali di Colombia, berkata dia jatuh cinta dengan suasana bola sepak Malaysia.
“Sejak tiba di sini, saya jatuh cinta dengan suasana dan negara ini.
“Sekarang saya mula faham apa maknanya bermain untuk Malaysia — dan saya sedia berikan segala-galanya,” katanya.
Langkah FAM ini menandakan usaha berterusan badan induk bola sepak negara untuk memantapkan barisan pemain menjelang kejohanan utama akan datang, termasuk kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia.
Penyertaan keempat-empat pemain ini memberikan saingan kepada pemain sedia ada, selain menawarkan lebih banyak pilihan taktikal kepada barisan kejurulatihan Harimau Malaya.

